Cemas disamun siang hari, reaksi spontan pemilik kedai runcit ini mungkin penyebab dia selamat
Seorang pemilik kedai runcit di Bandar Parklands, Klang bertindak spontan membaling rantai leher yang dipakainya kepada lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang panjang.
Tindakan wanita berusia 28 tahun berkenaan selepas suspek menarik rantai seorang pelanggan selain menendang mangsa yang berusia 59 tahun itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, suspek tersebut mengugut akan memotongnya jika mangsa enggan memberikan rantai leher itu.
“Takut keadaan itu, pemilik kedai itu terus membaling rantai leher yang dipakainya kepada suspek,” menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong.
Jelasnya, penjenayah terbabit kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 warna kelabu dengan nombor pendaftaran palsu yang diparkir di luar kedai runcit.

Hoong Fong memaklumkan kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
“Usaha untuk mengenalpasti dan menangkap suspek terlibat sedang giat dilakukan pihaknya. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini ditalian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” tambahnya.
BACA JUGA Penterjemah cantik Erdogan ini ada sejarah panjang di Malaysia