Jatuh bangun Erdogan memimpin Turki, kini memasuki 22 tahun sebagaimana Mahathir
Oleh NASAIE ISMAIL
Erdogan memulakan lawatan ke 3 negara sahabat, luar daripada Asia Barat dengan dimulakan dua hari ke Malaysia, sehari ke Indonesia dan hari keempat ke Pakistan.
Tahun ini, genap 22 tahun beliau mentadbir Turki setelah parti diasaskannya pada 2001 memenangi pilihan raya pada November 2002.
Namun, beliau yang dikenakan sekatan berpolitik pasca bebas hukuman penjara tidak terus menjadi Perdana Menteri.
Abdullah Gul menjadi Perdana Menteri bermula November 2002 sehingga Mac 2003. Erdogan hanya mengambil alih selepas beliau memenangi pilihan raya kecil pasca dilucutkan sekatan berpolitik.
Maka atas nama AKP, tahun ini tahun ke-23 memerintah Turki. Atas nama Erdogan pula, 2025 tahun ke-22 beliau menjadi pemimpin Turki, sama dengan tempoh pemerintahan Tun Mahathir 1.0 bermula 1981 hingga 2003 (22 tahun). Usia beliau juga Februari ini genap 70 tahun. Memerintah Turki daripada usia 48 hingga 70 tahun.
Erdogan tidak terus menjadi Presiden, sebaliknya mengetuai eksekutif sebagai Perdana Menteri 2003 hingga 2014 sebelum beralih kepada jawatan Presiden bermula 2014.
Namun, jawatan Presiden ketika itu hanya berkuasa dalam beberapa hal seperti tentera, mahkamah dan hal ehwal luar. Ia bukan jawatan eksekutif.
Namun, 2017 diadakan referundum rakyat mengubah sistem politik Turki daripada ‘Parliamentary Democracy’ kepada fully ‘Presidential System’ dengan Presiden sebagai Ketua Negara merangkap Ketua Kerajaan.
Adapun jawatan Perdana Menteri dihapuskan. Maka sejak 2018, Erdogan kembali menguasai cabang eksekutif sekaligus sebagai ketua negara yang mengetuai angkatan tentera, menaungi institusi kehakiman dan kembali mengetuai AK Parti yang diasaskannya.
Menyambut kemenangan
Dunia Timur dan dunia Barat menyambut kemenangan Erdogan dan AKP November 2002. Bukan sekadar ia satu kemunculan baru tetapi muncul di tengah melebarnya Islamofobia di dunia Barat terutamanya pasca serangan World Trade Centre (WTC) di New York September 2001.
Ia dianggap membawa alternatif dan harapan baharu yang mewakili kelompok sederhana dan demokrat dalam dunia Islam.
Presiden AS George Bush yang dibenci di dunia Islam khususnya di era itu akibat perang beliau lancarkan terhadap Afghanistan dan Iraq, mempunyai pandangan dan hubungan yang positif kepada Turki dan Erdogan. Kemenangan beliau turut disambut di Amerika dan Eropah ketika itu.
Tambahan pula janji AKP untuk memperjuangkan kemasukan Turki ke Kesatuan Eropah (EU), membawa Turki kekal sekular dan meneruskan hubungan baik dengan AS sebagai anggota NATO antara terlama dan terbesar daripada saiz angkatan tentera.
Janji AKP ini dilihat berbeza dengan pembawaan bekas parti asal sebahagian mereka ketika Erdogan dan Gul berada di dalam parti Refah pimpinan guru mereka almarhum Profesor Necmettin Erbakan.
Senang cerita, Barat selesa dengan Erdogan. Dunia Islam juga menaruh harapan tinggi kepada Erdogan.
AKP bernasib baik apabila berjaya menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di Turki dalam pilihan raya pertama tersebut walaupun hanya memenangi sekitar 35 peratus undi popular.
Hal ini kerana undang-undang Turki mewajibkan setiap parti memenangi minimum 10 peratus undi bagi melayakkan mereka menyertai Parlimen.
Maka hanya dua parti iaitu AKP (35 peratus) dan CHP parti diasaskan Mustafa Kamal Ataturk memenangi sekitar 19 peratus. Maka kerusi Parlimen dibahagikan kepada dua parti ini menjadikan AKP memperolehi dua pertiga kerusi.
Hubungan positif
Pada waktu sama, parti-parti pemerintah sebelumnya ditolak oleh rakyat disebabkan pelbagai isu termasuk rasuah dan lain-lain yang membawa kegawatan ekonomi yang sangat parah pada tahun 2000.
AKP muncul dengan muka baharu yang segar dan bersih, bergabung di antara tokoh-tokoh muda bekas Parti Refah bersama tokoh-tokoh reformis daripada parti lain yang turut sama memimpin AKP telah membawa imej segar buat AKP untuk dipilih rakyat.
Dua faedah besar diperolehi Erdogan dengan persepsi dan hubungan positif dengan Barat khususnya AS dan EU menyebabkan Turki menerima impak ekonomi yang sangat cemerlang.
Dua penggal pertama pemerintahan Erdogan, ekonomi Turki meningkat tiga kali ganda. Kesannya kelihatan jelas dengan pembangunan infrastruktur rancak dibangunkan di bandar dan luar bandar, peningkatan sektor industri yang melahirkan ramai orang kaya baharu dan peningkatan mendadak peluang pekerjaan untuk rakyat.

Turki yang sebelumnya dikenali sebagai ‘the sick state’ in Europe berubah menyertai ‘Club of Trillion’ di Eropah iaitu negara-negara yang mempunyai KDNK (GDP) dalam nilai Trillion Dollar bermula Jerman, UK, Perancis, Itali dan Sepanyol.
Turki menjadi negara keenam, kemudiannya memintas Sepanyol menjadi negara kelima dan seterusnya di tangga keempat melepasi Itali dan mendekati kedudukan Perancis.
Ia disifatkan kenaikan ekonomi yang miracle (ajaib) kerana berlaku dengan begitu pantas.
Pelaburan daripada Eropah meningkat berganda disamping Turki juga berjaya meningkatkan hubungan dagangnya dengan negara-negara Timur khususnya yang berada di sempadan negaranya.
Sejak penghujung era Ottoman Empire, bersambung di era Ataturk sehinggalah sebelum Erdogan, Turki bermusuh dengan hampir kesemua jirannya.
Maka dengan ‘Zero Problem Policy’ yang digagaskan penasihat hal ehwal luar Erdogan yang kemudiannya menjadi Menteri Luar dan Perdana Menteri, Ahmet Davutoglu, Turki dengan segera membaiki hubungannya dengan semua negara jirannya terutamanya Greece, Russia, Armenia dan Syria.
Ianya berlaku dengan pantas dan berakhir di tahun 2007, Turki berjaya membaiki hubungannya dengan semua jirannya.
Hal ini juga menjadi faktor tambahan kepada peningkatan ekonomi Turki apabila Syria contohnya menjadi pintu Turki ke negara-negara Arab dan Russia menjadi yang menjadi pembekal utama gas kepada Turki.
Berbalik kepada Barat. Dengan hubungan erat dan percayanya Bush dan pemimpin Eropah terhadap Erdogan juga menyelamatkan beliau daripada digulingkan oleh pihak tentera Turki khususnya dalam cubaan Kudeta (rampasan kuasa) 2007.
Dengan alasan untuk memenuhi syarat kemasukan ke EU, kuasa tentera dibuang sedikit demi sedikit dalam kerajaan khsususnya sebagai pembuat keputusan dasar.
Tentera yang semakin tercabar menjadikan alasan cubaan AKP menamakan Abdullah Gul sebagai calon Presiden pada 2007 untuk menggulingkan AKP.
Ini kerana kelibat isteri Gul yang bertudung akan mencabar institusi sekular Turki apabila wanita bertudung itu bakal menuruti suaminya memasuki Istana Presiden.
Maka pelbagai usaha untuk menggagalkan Gul ke jawatan Presiden diwujudkan dan kemuncaknya secara rasmi tentera memberi ugutan keberangkalian untuk merampas kuasa diuar-uarkan di media rasmi tentera.
Meningkat mendadak
Namun, cubaan kudeta 2007 tersebut digagalkan apabila US State Department dan bahagian Foreign Affair EU memberikan amaran terbuka kepada tentera Turki agar tidak melakukan kudeta yang mencemar demokrasi dan bercanggah perlembagaan Turki.
Erdogan pula segera membubarkan Parlimen bagi mendapat mandat baharu dan keputusannya undi AKP meningkat mendadak daripada 35 peratus 2002 kepada 46 peratus 2007.
Manakala pencabar terdekatnya CHP hanya kekal dengan sekitar 20 peratus dan parti berikutnya MHP (kini bergabung dengan AKP sejak 2015), memenangi sekitar 14 peratus.
Kemenangan besar AKP menjadi mandat yang kuat kepada Erdogan dan menafikan pihak tentera yang sering menggunakan alasan bertindak mewakili rakyat.
Maka selepas pilihan raya tersebut, Parlimen segera mengundi Abdullah Gul untuk menjadi Presiden baharu Turki. Maka terselamat Erdogan dan AKP dalam cubaan kudeta kali pertama antaranya dibantu sokongan Barat terhadap beliau.
Turki terus berkembang sebagai kuasa ekonomi dan kuasa politik yang berpengaruh khususnya kepada negara-negara membangun.
Suara Turki juga semakin lantang membela negara-negara dan masyarakat tertindas khususnya di Pales tin, Somalia dan Rohingnya.
Tahun 2010 mencatat sejarah apabila sekumpulan aktivis kemanusiaan daripada seluruh dunia diketuai Turki dan ngonya IHH melakukan operasi Flotilla Mavi Marmara dari Pelabuhan Iskanderun di Turki ke Gaza bertujuan memecahkan kepungan Israel terhadap Gaza.
Kapal yang membawa bantuan kemanusiaan tersebut disekat Israel di laut antarabangsa dan berlaku pertempuran yang membunuh sekitar 10 orang aktivis dari Turki dan baki yang lain termasuk beberapa aktivis dari Malaysia ditahan beberapa hari di penjara Israel.
Tindakan ini menimbulkan ketegangan di antara Turki dengan Israel. Erdogan mengumumkan penarikan duta Turki di Israel dan Duta Israel di Turki telah dihalau keluar.
Walaupun ramai pihak di Barat melihat Erdogan mula menunjukkan wajah sebenarnya yang tidak ada beza dengan mentor lamanya Erbakan yang memusuhi Israel, tetapi Bush tetap mengganggap Erdogan sebagai rakan yang baik buat Amerika dan beliau mempunyai alasan tersendiri dalam tindakannya terhadap Israel.
Hubungan kedua-dua negara hanya pulih di era Obama apabila rundingan yang Obama jalankan dipersetujui Netanyahu yang sedia memohon maaf kepada Turki dan membayar sejumlah pampasan terhadap keluarga mangsa yang terbunuh.
Pencapaian berganda
Pencapaian berganda ekonomi menjadikan Erdogan semakin popular di mata rakyat dan kesannya pilihan raya ketiga disertai AKP pada 2011 undi AKP terus meningkat kepada 49 peratus, berbanding 2007 sebanyak 46 peratus dan 2002 sebanyak 35 peratus.
Hal ini menjadikan buat penggal ketiga berturut-turut AKP menguasai dua pertiga Parlimen Turki. Turki pula kekal selesa hubungan baik dengan Barat dan tidak ada lagi musuh dalam kalangan negara-negara jirannya.
Tahun 2011 menjadi permulaan kepada perubahan baharu buat Turki, Asia Barat dan dunia keseluruhannya.
Arab Spring bermula di Tunisia, berjangkit ke Mesir menjatuhkan dua Presiden terlama iaitu Zainal Abidin Ben Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir. Kemudian kebangkitan rakyat terus merebak ke Libya, Yaman, Syria, Jordan, Bahrain dan beberapa negara Arab lain.

Musim Spring (bunga) buat Arab dilihat ‘Spring’ juga buat Turki. Setelah sedekad berusaha memasuki EU dan gagal serta disukarkan dengan pelbagai alasan, maka tiba masanya Turki melebarkan sayapnya ke Timur Tengah.
Walaupun tidak berjaya menyertai EU, tetapi Turki memperoleh manfaat besar untuk tempoh rundingan tersebut apabila kuasa tentera berjaya dikurangkan dengan begitu banyak bagi memenuhi syarat EU dan ekonomi Turki berkembang pesat dengan peningkatan pelaburan dari Barat.
Turki yang kehilangan ‘khilafah’ sejak selepas Perang Dunia Pertama melihat peluang di Timur Tengah dan sudah mula wujud suara-suara yang melaungkan kemunculan neo-Ottoman.
Pilihan raya di Mesir dan Tunisia dimenangi oleh FJP (Mesir) iaitu parti ditubuhkan Ikhwanul Muslimin dan An Nahdah (Tunisia) yang kedua-duanya mempunyai hubungan dengan Erdogan dan gurunya Erbakan sejak sekian lama. Dua negara ini menjadi sekutu terbaharu Turki.
Manakala Erdogan mengambil sikap lebih berhati-hati dengan kebangkitan di Libya dan Syria kerana Turki baharu sahaja membaiki hubungan dengan kedua-dua negara dan Erdogan secara peribadi mempunyai hubungan baik dengan Muammar Gaddafi (Libya) dan Bashar (Syria) ketika itu.
Namun, keadaan berubah apabila NATO diketuai AS membuat keputusan untuk campur tangan di Libya.
Memberi sokongan
Dalam masa beberapa minggu sahaja, Ghadafi dijatuhkan dengan kebangkitan rakyat dibantu serangan NATO.
Erdogan menghantar Menteri Luarnya Devutoglu bertemu Bashar berunding dan berakhir dengan mendesak Bashar berundur.
Turki segera memberi sokongan kepada kumpulan pembangkang yang bangkit di Syria yang awalnya kebangkitan aman di jalan raya tetapi bertukar menjadi perang.
Mengambil formula di Libya, selepas Turki membantu kumpulan bersenjata Syria untuk bangkit, sokongan NATO diharapkan untuk mempercepatkan kejatuhan Bashar.

Namun, Obama menolak untuk campur tangan secara langsung di Syria berbeza dengan Libya. Hal ini meninggalkan Turki bersendirian dan berikutnya dibantu Qatar. Setelah dua tahun kebangkitan di Syria telah gagal menjatuhkan Bashar.
Manakala di Mesir, 2013 iaitu selepas setahun Morsi sebagai sekutu Erdogan memerintah Mesir, ia telah digulingkan oleh pihak tentera dipimpin oleh Jeneral Abdul Fattau As Sisi.
Erdogan menghantar Pengarah Perisikannya bertemu Morsi beberapa minggu sebelum kudeta menasihatkan Morsi untuk bertemu Obama menjalinkan hubungan baik dengan Amerika.
Namun, ia sudah terlambat kerana dalam pertemuan yang sama, Menteri Pertahanan yang bakal mengetuai kudeta turut menyertainya.
Manakala permintaan Erdogan untuk Obama campur tangan menghentikan Kudeta di Mesir juga ditolak oleh Obama berakhir dengan Morsi digulingkan.
Hal ini mendatangkan kemarahan kepada Erdogan yang memutuskan hubungan dengan Mesir dan hubungan Turki dengan negara-negara Teluk khususnya Saudi dan UAE juga tegang disebabkan kedua-dua negara menyokong tindakan Sisi.
Hilang majoriti
Bermula era baru Turki daripada ‘Zero Problem Policy’ dengan makna tiada musuh khususnya dalam kalangan negara-negara jirannya di Asia Barat kepada ‘Zero Friends’ kecuali Qatar sahaja kekal bersekutu dengan Turki.
Manakala Syria yang berubah menjadi perang sivil pula memberi kesan besar kepada Turki apabila jutaan pelarian Syria menyeberang masuk ke Turki mendapat perlindungan.
Hubungan Turki-Barat juga tercalar disebabkan beberapa perkara termasuk kegagalan Obama mempersetujui permintaan Erdogan dalam isu di Syria dan Mesir.
Malah, Obama yang menyambung hubungan baik Bush dengan Erdogan di penggal pertamanya, mula dilihat tegang hubungan di penggal kedua.
Apabila berlaku demonstrasi atau protes besar di Gezi Park Istanbul membantah beberapa polisi pentadbiran Erdogan, Obama secara terbuka menempelak Turki atas dakwaan pihak polis Turki melakukan kekerasan terhadap rakyat yang berhimpun.
Manakala isu Syria berlarutan dengan kemasukan kumpulan-kumpulan luar sama ada cawangan Al Qaeda atau ISIS yang impaknya terkesan secara langsung kepada Turki.
Tahun 2015 buat kali pertamanya AKP hilang majoriti di Parlimen dan gagal membentuk kerajaan sehingga memaksa pilihan raya pusingan kedua yang dimenangi tipis selepas AKP bergabung dengan salah satu parti pembangkang MHP.
Fasa berbulan madu AKP dan Erdogan tamat pada 2015 apabila dia terpaksa bergelut dengan politik dalaman Turki setelah hilang banyak sokongan di tahun 2015.
Begitu juga dalam pilihan raya berikutnya pada 2018 dan 2022, undi AKP hanya selamat disebabkan gabungan dengan MHP.
Manakala konflik dalaman AKP juga berlaku apabila Erdogan ‘menamatkan’ jawatan Perdana Menteri yang juga penasihat luarnya sejak 2003 iaitu Davutoglu yang dilihat berseberangan dengan beliau dalam beberapa isu.
Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Ekonominya Ali Babacan juga bertindak menentang Erdogan dengan menubuhkan parti baru.
Adegan ini tidak habis di situ tetapi semakin memuncak apabila pada 15 Julai 2016, sekumpulan pihak dalam tentera cuba melakukan Kudeta terhadap Erdogan.
Pertempuran di darat dan udara Istanbul dan Ankar berlaku pada malam tersebut dan cubaan untuk menangkap atau membunuh Erdogan dilakukan di tempat bercuti beliau di Marmara.
Mendalangi kudeta
Namun, kudeta ini gagal apabila Pengarah Perisikan Hakan Fidan mengetahui awal dan memulakan operasi menggagalkannya.
Malam Ketua Staf Angkatan Tentera (Komander Tertera Turki) juga menolak untuk bekerjasama dengan pihak pemberontak dalam tentera serta seruan Erdogan kepada rakyat untuk turun ke jalan raya menentang kumpulan tentera pemberontak.
Ia berakhir dengan ratusan rakyat dan polis yang bersama Erdogan mati ditembak dan tentera pemberontak gagal menggulingkan beliau.
Erdogan mendakwa AS mendalangi kudeta tersebut dan tangkapan besar-besaran dilakukan terhadap pihak tentera, NGO, ahli akademik daripada kumpulan Gulen dan rakyat Amerika yang didakwa terlibat merancang.
Turki yang sebelumnya tegang dengan Russia disebabkan isu Syria mula menunjukkan kecenderungnnya kepada Russia dan mengistiharkan untuk membeli S-400 senjata canggih buatan Russia. Hal ini menimbulkan kemarahan AS.
Pada era Donald Trump, beliau mengenakan dua kali sekatan ekonomi terhadap Turki disebabkan hubungan dengan Russia tersebut dan kegagalan Turki membebaskan rakyat US Fastor Andrew yang dipenjarakan atas dakwaan terlibat merancang kudeta.
Maka bermulalah kejatuhan mendadak nilai matawang Turki dan ekonominya secara tidak langsung.
Ringkas cerita, Arab Spring yang sepatutnya menjadi medan Turki melebar luaskan pengaruhnya menjadi ujian besar kepada politik dan ekonomi Turki yang berkembang begitu pesat di tiga penggal pertama pentadbiran Erdogan.
Penutup pengkisahan ini ialah konflik di Syria penghujung 2024. Apabila HTS yang dipercayai dibiayai dengan sokongan Turki berjaya mengambil alih Syria dan menjatuhkan Bashar, maka ramai melihat ia satu lembaran baru buat Turki.
Ada benarnya, tetapi perlu melihat beberapa tahun ke depan kesannya sebelum kesimpulan dibuat.
Namun, untuk dua tiga tahun terakhir ini juga, Turki memasuki fasa beru hubungan luarnya apabila ia kembali dipulihkan dengan Mesir, Saudi dan UAE setelah terputus dan tegang sejak 10 tahun sebelumnya.
Kesimpulannya adalah dua. Turki sedang memasuki fasa baharu (3) selepas dua fasa awal iaitu berlaku kenaikan dan kemerosotan politik dan ekonomi.
Keduanya, kehebatan Erdogan memimpin atau ketokohannya yang kita sering dengarkan tidaklah sepanjang masa melalui jalan mudah melainkan penuh dengan ujian dan cabaran yang sangat besar.
Dua hari ini Erdogan ke Malaysia dan esok seharian di Indonesia sebelum hari keempat ke Pakistan.
Moga hubungan Turki, Malaysia, Indonesia dan Pakistan semakin baik, berkembang pesat dan menjadi tauladan kepada negara negara lain.
BACA JUGA Ini sebabnya PMX terima SUV EV Togg daripada Erdogan
Â