Kening berdarah terhantuk di bucu bangku, ini nasib budak perempuan dipukul ibu

Budak perempuan yang dipukul ibunya sehingga tersungkur dan terhantuk pada bucu bangku hingga berdarah di kening sudah pun dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian menerusi ciapan di platform X, hari ini.

Dalam masa sama, Datuk Seri Nancy Shukri turut mengesahkan bahawa suspek wanita berkenaan telah ditahan oleh pihak polis.

“Pelindung Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) telah menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM untuk mengambil tindakan segera dan suspek dalam video ini telah pun ditahan oleh pihak polis.

“Kanak-kanak perempuan telah dibawa oleh Pelindung ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kita doakan semoga semuanya dipermudahkan bagi kanak-kanak perempuan ini,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan wanita berkenaan yang mendukung seorang lagi kanak-kanak dilihat meluru ke arah budak perempuan tersebut sebelum memukulnya.

Wanita berusia 37 tahun itu dilihat menarik tangan kanak-kanak itu dan sekali lagi memukul bahagian belakang sehingga menyebabkan anak kecil berkenaan tersungkur ke lantai.

Budak malang itu kemudian bangkit sambil menangis sebelum wanita itu tergamak memukul lebih kuat di bahagian belakang badannya.

Akibat pukulan yang berlaku di hadapan sebuah pasar raya itu, bahagian dahi anak kecil berkenaan terhantuk pada bucu sebuah bangku di situ sehingga berdarah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek yang bekerja sebagai pekerja kantin ditahan di bilik sewanya di Jejawi, Arau kira-kira jam 11.30 malam tadi.

“Mangsa merupakan anak perempuan suspek berusia empat tahun dan dia didapati mengalami luka, berjahit di bahagian kening sebelah kanan.

“Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA JUGA Apa kata Erdogan kepada PMX dan Tok Mat? Sebar video ini elak walaun memfitnah