Kerajaan peruntuk RM209 juta bagi perkhidmatan udara luar bandar Sarawak, Sabah
Kerajaan Persekutuan akan terus menyalurkan subsidi bagi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sarawak dan Sabah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan pusat memperuntukkan RM209 juta bagi RAS di Sarawak dan Sabah tahun ini.
Jelasnya, RAS ialah tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan komitmen ini diperkukuh menerusi memorandum persefahaman yang ditandatangani pada 27 Oktober 2023.
“Kerajaan Persekutuan dan Sarawak telah menandatangani memorandum untuk menyatakan komitmen sekiranya kerajaan Sarawak mengambil alih MASwings, subsidi kewangan dan komitmen kewangan setiap tahun untuk perkhidmatan luar bandar akan diteruskan kepada syarikat penerbangan baharu,” katanya.
Loke berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian jual beli MASwings antara kerajaan Sarawak dengan Malaysia Aviation Group (MAG) di Kuching hari ini.
“Saya yakin pemilik baharu, kerajaan Sarawak, pasti akan menambah baik perkhidmatan RAS dan menyediakan hubungan udara yang lebih baik kepada penduduk luar bandar di Sarawak dan Sabah,” katanya lagi.
BACA JUGA Perlunya reformasi tangani ‘rent seeking’
Â