Kes Altantuya: Akhirnya kerajaan, Razak Baginda diperintah bayar lebih RM9 juta
Kes Altantuya Shaariibuu akhirnya menyaksikan kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda diperintah membayar lebih RM9 juta kepada keluarga mendiang model Mongolia itu.
Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Shaariibuu Setev, berkata Pesuruhjaya Kehakiman M.Sumathi memerintahkan demikian dengan kedua-dua pihak berkenaaan mendepositkan bayaran dalam tempoh 30 hari ke dalam akaun firma guaman Karpal Singh & Co sehingga rayuan dilupuskan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan kedua-dua pihak terbabit membayar 50 peratus daripada jumlah berkenaan terlebih dahulu.
Berdasarkan penghakiman, Sumathi membenarkan penangguhan bersyarat terhadap kerajaan dan Abdul Razak selaku defendan ketiga dan keempat, sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan RMRM9,404,109.60.
“Bagi memastikan keadilan, mahkamah membenarkan penangguhan bersyarat, di mana defendan ketiga perlu mendepositkan sejumlah RM4,702,054.80 iaitu 50 peratus daripada jumlah penghakiman termasuk faedah,” menurut penghakiman itu, dipetik Bernama.
Pada 16 Disember 2022, keluarga Altantuya menang dalam saman kematian model berkenaan apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan empat defendan termasuk kerajaan Malaysia membayar RM5 juta sebagai ganti am dan teladan.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati plaintif berjaya membuktikan kes mereka terhadap defendan kedua dan ketiga.
BACA JUGA Perlunya reformasi tangani ‘rent seeking’