Kopi saya cukup tawar pagi ini – Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji langkah kementerian yang mengambil serius seruannya untuk mengurangkan pengambilan gula.
Ketika berucap di hadapan ratusan warga kementerian kewangan pagi ini, beliau berseloroh bahawa kopi disediakan untuknya pagi ini cukup tawar.
“Ada beberapa perkara yang telah dilaksanakan dengan baik. Bila kita umumkan kurang gula, kopi saya cukup tawar.
“Maknanya hari itu kementerian kewangan ambil serius betul. Soal lain belum tentu, soal gula pasti. Tawar betul,” ujarnya berseloroh.
Dalam perkembangan sama ketika melancarkan sistem iPayment pagi ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengarahkan agar Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) disegerakan pelaksanannya dari unjuran jadual yang ditetapkan.
Beliau mahu sistem terbabit dapat digunakan pada awal Mac depan berbanding jangkaan pada April.
“Harus ingat bahawa ukuran akhirnya ialah bagaimana majoriti rakyat mengecapi nikmat pembaharuan reformasi yang kita bicarakan.
“Sebab itu saya sekali lagi menggesa supaya program iPayment dipercepatkan dari unjuran jadual akhir April kepada awal Mac iaitu minggu pertama Ramadan.
“Jadi bulan Ramadan minggu pertama kita tumpu hal ini supaya selesai. Kalau tidak, tak ada cuti raya,” katanya.
Sistem iPayment disediakan untuk kegunaan agensi Kerajaan Persekutuan yang masih belum mempunyai sistem terimaan elektronik bagi menguruskan pembayaran oleh orang awam terhadap perkhidmatan ditawarkan kerajaan.
BACA JUGA PM tegur ‘politik picisan’ perbesar hal remeh
Â