Mahkamah perintah kerajaan, Razak Baginda bayar RM9 juta kepada keluarga Altantuya
Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Kerajaan Malaysia dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, untuk membayar lebih RM9 juta kepada keluarga wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Menurut laporan media, pembayaran itu termasuk faedah perlu dibuat dalam tempoh 30 hari ke dalam akaun peguam keluarga Shaariibuu, Karpal Singh & Co.
Pesuruhjaya Kehakiman, M Sumathi, juga mengarahkan kerajaan dan Abdul Razak membayar kos RM25,000 kepada Shaariibuu.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan lisan untuk penangguhan perintah terbabit.
Sebelum ini keluarga model Mongolia itu memfailkan notis kebankrapan terhadap Abdul Razak Baginda, selepas penganalisis politik itu gagal membayar ganti rugi termasuk faedah lebih RM9.24 juta kepada keluarga berkenaan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 2022.
Altantuya dilaporkan berperanan sebagai penterjemah dalam proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS, kepada kerajaan Malaysia.
Wanita itu kemudian didakwa dibunuh oleh dua pengawal peribadi Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, pada 18 Oktober 2006.
Berikutan itu, dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), iaitu Koperal Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh Altantuya pada November 2006.
Pada 4 Jun 2007, keluarga model itu memfailkan saman RM100 juta terhadap Azilah Hadri, Sirul Azhar, Abdul Razak dan kerajaan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, keluarga Altantuya berkata kematian model itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, dan menuntut pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.
BACA JUGA Pecah monopoli Puspakom: Anthony Loke jawab dakwaan kontrak diberi kepada kroni
Â