PH-BN sedang siap sedia jadi ‘government in waiting’ di Kedah

Pakatan Harapan (PH) Kedah seolah memberi bayangan bakal mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, gabungan itu bersama Barisan Nasional (BN) sedang mempersiapkan diri untuk menjadi ‘goverment in waiting’ di Kedah.

Beliau yang baru dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Datuk Mahfuz Omar berkata, PH-BN sudah berbincang bagaimana mereka boleh memposisikan diri sebagai pembangkang dipercayai buat masa ini.

“Pertemuan baru-baru ini, kami mengambil kesempatan untuk berbincang tentang bagaimana kami di Kedah boleh memposisikan diri kami sebagai pembangkang yang boleh dipercayai dan efektif…

“Pada masa sama mempersiapkan diri untuk menjadi ‘goverment in waiting’,” katanya kepada pemberita sempena Sambutan Hari Thaipusam di Penjara Sungai Petani hari ini, menurut Sinar Harian.

Untuk rekod Mahfuz sebelum ini memegang jawatan Pengerusi PH Kedah dari 2022, sebelum ia diganti dengan Saifuddin dalam satu mesyuarat diadakan pada 7 Februari lalu.

“Secara konsensus, PH Kedah telah memilih Saifuddin Nasution sebagai Pengerusi PH yang baru menggantikan Datuk Mahfuz dalam mesyuarat diadakan pada 7 Februari lalu,” katanya.

BACA JUGA Kopi saya cukup tawar pagi ini – Anwar