Akta Perhimpunan Aman – apa yang akan dipinda? PM menjelaskan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa keperluan untuk mendapat kelulusan tempat di dalam Akta Perhimpunan Aman akan dipinda.
“Keperluan dapat kelulusan tempat akan dipinda. Ia akan dikeluarkan. Yang diperlukan ialah pemberitahuan lima hari sebelum himpunan.
“Tindakan seperti siasatan akan digantung. Bantahan terhadap SOSMA tidak akan diambil tindakan,” katanya merujuk kepada himpunan protes SOSMA di depan Penjara Sungai Buloh.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Ting (PH-Kota Melaka) semasa sesi soalan perdana Menteri (PMQT).
Anwar turut menjelaskan berkenaan apa yang dilihat sebagai kekeliruan kepada pihak polis.
“Tindakan polis berlaku kerana tiada arahan kepada polis. Saya faham. Sementara pindaan (belum) dibuat, kita buat moratorium,” katanya.
Bagaimanapun kelonggaran tersebut tidak terpakai sekiranya tempat himpunan melibatkan istana dan sebagainya kerana ia melibatkan isu keselamatan.
Menjawab soalan susulan Khoo berkenaan kemungkinan SOSMA dipinda, Anwar berkata SOSMA diperlukan kerana tiada negara bebas dari ancaman pengganasan.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan SOSMA tidak akan disalahguna seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri sebelum ini.
Sementara itu, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bertanya garis masa kepada pindaan terhadap Akta Perhimpunan Aman
Anwar berkata pindaan akan dibentang dalam sesi akan datang dan moratorium terhadap siasatan ke atas penganjur himpunan dan keperluan kelulusan terpakai buat masa ini.
BACA JUGA: Akta Perhimpunan Aman – adakah ia akan dipinda?
Â