Hari bahagia untuk pesawah, PM umum Syed Mokhtar setuju peruntuk RM30 juta

Selepas kerajaan mengumumkan harga lantai belian padi baharu, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pula bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta kepada pesawah-pesawah miskin.

Peruntukan tambahan itu dipersetujui Syed Mokhtar sendiri ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubunginya tadi.

Anwar berkata, ia bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.

“Susulan pengumuman hari ini, saya telah menghubungi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, dan Alhamdulillah beliau bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta.

“Insya-Allah, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini bukan kali pertama Syed Mokhtar menyalurkan peruntukan kepada para pesawah. Sebelum ini beliau melalui BERNAS telah memperuntukkan sebanyak RM60 juta kepada pesawah miskin.

Sementara itu Anwar menyatakan penghargaan kepada BERNAS yang telah bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terbela.

Hari ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan, berkuat kuasa Ahad ini.

Ini adalah penyelarasan harga lantai belian padi yang kedua dilaksanakan Kerajaan MADANI dalam tempoh dua tahun untuk menambah pendapatan pesawah.

Kerajaan pernah mengumumkan penyelarasan pertama pada 2023 setelah hampir 10 tahun harga lantai belian padi kekal pada harga RM1,200.

“Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama saya tatkala diberi amanah mengemudi negara.

“Bagi memastikan penyelarasan harga lantai belian padi ini tidak menjejaskan rakyat, kerajaan MADANI memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi, sekali gus memastikan harga jualan maksima beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram,” kata Anwar.

BACA JUGA Setepek Zamir sekolahkan Adun Bersatu isu siapa paling tolong pesawah

Â