Lawatan delegasi Afghanistan ke KPM tak bermakna kita ada hubungan dua hala

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengesahkan tiada sebarang hubungan dua hala terbentuk dalam bidang pendidikan di antara kerajaan Malaysia dan Afghanistan meskipun delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan telah membuat lawatan ke sini.

“Lawatan ini telah memberi peluang kepada delegasi Afghanistan untuk memahami lebih lanjut mengenai pendekatan dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan yang diamalkan di Malaysia.

“Namun, perlu dinyatakan bahawa lawatan tersebut tidak melibatkan sebarang bentuk perjanjian rasmi atau kerjasama dua hala antara Kerajaan Malaysia dan Afghanistan dalam bidang pendidikan.

“Lawatan ini telah dibiayai sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang bertanggungjawab menguruskan dana yang disediakan oleh Kesatuan Eropah (European Union – EU) dalam usaha menyokong pembangunan kapasiti di Afghanistan.

“Sehingga kini, Kerajaan Malaysia masih belum mengiktiraf Pihak Berkuasa De Facto Afghanistan (PBDFA).

“Oleh yang demikian, tiada sebarang hubungan rasmi atau kerjasama strategik yang dimeterai antara kedua-dua kerajaan dalam pendidikan.”

Fadhlina berkata demikian dalam jawapan bertulis ke apda Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang bertanya berkenaan bentuk hubungan dua hala Malaysia-Afghanistan dalam bidang pendidikan.

Dalam bulan November tahun lalu delegasi Afghanistan yang diketuai oleh ketua pengarah Kementerian Pendidikan Afghanistan Shahabuddin Saqib melawat beberapa sekolah, institusi Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam lawatan seminggu yang bermula pada 4 Nov.

BACA JUGA: Kes Altantuya: Akhirnya kerajaan, Razak Baginda diperintah bayar lebih RM9 juta

Â