Mengapa Pas tidak layak memegang tampuk pemerintahan Pulau Pinang?
Pas secara umumnya sangat konservatif dan tiada pengalaman memacu masyarakat pelbagai kaum dengan ekonomi progresif kata kebanyakan pemerhati politik dan perniagaan.
Penganalisa politik Profesor Azmil Tayeb berkata rakyat Pulau Pinang boleh menjangkakan Pas akan melaksanakan peraturan berkaitan syariah dan moral policing sebagai agenda utama mereka.
Contohnya pengharaman nombor ekor dan pembentukan skuad pencegahan maksiat seperti mana yang dilaksanakan di negeri tadbirannya – Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
“Mereka tidak boleh membentuk kerajaan negeri tanpa memenangi kerusi di bahagian pulau. Ini bermakna ada keperluan untuk memenangi majoriti bukan Melayu dan itu terlalu sukar buat Pas,” kata beliau.
“Dasar konservatif Pas menyebabkan kebanyakan bukan Muslim menjauhkan diri dari parti tersebut. Serangan mereka ke atas pemimpin bukan Muslim juga menyebabkan Pas tidak sesuai untuk bukan Muslim,” katanya, lapor Scoop.
Buat masa ini PN memegang 11 kerusi DUN Pulau Pinang – 7 oleh Pas, 4 Bersatu.
Timbalan pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Shaik Hussein Mydin berkata Pas lebih tertumpu kepada isu perkauman dan bukannya isu ekonomi kerana parti tersebut kurang pemimpin yang berkebolehan.
“Kesemua 11 Adun PN sekarang tidak berkebolehan untuk memimpin sebuah negeri berbilang kaum seperti Pulau Pinang,” kata beliau.
Pimpinan Pas Pulau Pinang termasuk pesuruhjaya Muhammad Fauzi Yusoff dan ketua penerangan Pas Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Mohamad Jan bbaru-baru ini mencadangkan bahawa Pas layak memimpin PN di negeri tersebut berdasarkan bilangan kerusinya di DUN.
Sementara itu pengerusi usahawan muda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia – Pulau Pinang Hisham Abdul Hamid merasakan Pas tidak layak mentadbir Pulau Pinang.
Menurutnya ekonomi negeri memerlukan pelbagai pihak di dalam ekonomi negeri dan kerajaan pelbagai kaum untuk mentadbir.
“Pas tidak mempunyai pengalaman mentadbir Pulau Pinang. Pulau Pinang telah ditadbir oleh parti pelbagai kaum, dari sudut sejarah.
“Jika ditadbir Pas, ekonomi akan lebih terut kerana (amalan) pengurusan lemah yang kita lihat di negeri tadbiran Pas seperti Kelantan dan Kedah,” katanya.
BACA JUGA: Akta Perhimpunan Aman – apa yang akan dipinda? PM menjelaskan
Â