Persepsi ‘double standard’ dalam keputusan mahkamah? Ini kata Menteri

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman menafikan adanya persepsi ‘double standard’ atau pilih kasih dalam keputusan mahkamah.

“Berdasarkan maklum balas daripada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, tidak timbul perkara ‘double standard’ dalam keputusan-keputusan mahkamah,” kata Azalina dalam jawapan bertulisnya.

“Kuasa untuk menjatuhkan hukuman ialah kuasa budi bicara kehakiman seseorang Hakim atau Majistret yang mengadili sesuatu kes.

“Tiada peraturan khusus berkaitan pemakaian kuasa budi bicara kehakiman tersebut dan Hakim atau Majistret adalah bebas untuk membuat keputusan selagi mana keputusan yang dijatuhkan adalah berdasarkan prinsip penghukuman serta kerangka perundangan.

“Mahkamah mempunyai budi bicara dalam menjatuhkan hukuman selagi ia tidak terlampau kurang (grossly inadequate) ataupun terlampau tinggi (manifestly excessive).

“Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah adalah berpandukan prinsip penghukuman, kerangka perundangan, fakta dan keadaan kes, faktor mitigasi dan factor pemberat (aggravating factors).

Azalina menambah bahawa mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang dianggap berlebihan atau kurang boleh membuat rayuan.

“Selain daripada itu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan juga telah mengeluarkan Bench Book (Criminal Law) 3rd Edition 2020 yang antara lain mengandungi prinsip penghukuman sebagaimana yang diputuskan oleh mahkamah sebagai rujukan kepada semua pegawai kehakiman dalam mengadili sesuatu kes.”

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Seri Doris Sophia Brodi GPS- Sri Aman) yang bertanya berkenaan usaha kerajaan menangani persepsi rakyat bawa ada ‘double standard’ dalam keputusan mahkamah, khususnya yang melibatkan individu berpengaruh dan mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa.

BACA JUGA: Perlunya reformasi tangani ‘rent seeking’

Â