Petronas muncul ‘trending’, ada sebab ramai bercakap tentang syarikat Fortune 500 ini
Kata kunci “Petronas” menjadi sohor kini di platform X susulan pengumuman syarikat minyak dan gas multinasional negara itu untuk melakukan langkah penyusunan semula tenaga kerjanya.
Lebih 1,600 ciapan setakat ini menyebut tentang syarikat Fortune 500 ini iaitu 500 syarikat terbesar di dunia berdasarkan hasil pendapatan tahunan.
Ramai menganggap tenaga kerja Petronas sebelum ini menikmati bonus tahunan besar tujuh ke lapan bulan gaji bergantung pada prestasi individu selain bonus tambahan.
Malah, ada yang mendakwa kononnya terdapat pekerja Petronas yang kerap pergi ke kem ‘team-building’ dan pusat peranginan lima bintang setiap minggu.
Bagaimanapun, warganet berpendapat langkah pemberhentian separuh kakitangan Petronas pun tidak akan menjejaskan syarikat itu kerana jumlah pekerja yang berbaki dianggap masih terlalu besar.
Sejak 50 tahun penubuhannya, Petronas menyumbang sebanyak RM1.5 trilion dalam bentuk dividen, cukai jualan negeri, bayaran tunai, duti eksport dan kumpulan wang amanah negara.

Baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik menyatakan bahawa langkah penyusunan semula tenaga kerjanya adalah usaha proaktif untuk memastikan kelangsungan jangka panjang syarikat dalam menghadapi cabaran industri minyak dan gas global yang semakin kompleks.
Menurutnya, tanpa tindakan sedemikian, syarikat minyak nasional (NOC) itu mungkin menghadapi risiko tidak dapat bertahan dalam dekad akan datang.
Pada masa ini, Petronas mempunyai kira-kira 52,000 pekerja, dengan 16,000 daripadanya dianggap sebagai pemangkin utama dalam operasi syarikat.
Walaupun langkah penyusunan semula ini diumumkan, jumlah tepat pekerja yang mungkin terjejas belum didedahkan secara rasmi.
Namun, laporan sebelum ini menyebut bahawa Petronas mungkin mempertimbangkan pengurangan tenaga kerja sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengatasi kerugian yang dijangka, terutamanya selepas perjanjian pengagihan gas dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Langkah penyusunan semula tenaga kerja Petronas bukan disebabkan oleh krisis kewangan, tetapi sebagai strategi untuk memastikan syarikat itu kekal relevan dan berdaya saing dalam industri yang sedang mengalami perubahan struktur.
Keputusan tersebut juga mencerminkan trend global di mana banyak syarikat minyak dan gas sedang menyesuaikan diri dengan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dan pelaburan hijau.
BACA JUGA Beri insentif kepada petani yang tingkat hasil padi per hektar, baru mereka berlumba