SPRM puas hati ketulenan surat derma Arab Saudi kepada Najib
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa agensi itu berpuas hati dengan keterangan wakil raja Arab Saudi berkenaan dengan derma yang dikatakan diberi kepada Datuk Seri Najib Razak.
Pegawai kanan SPRM, Fikri Ab. Rahim berkata, SPRM berpuas hati terhadap ketulenan empat keping surat yang mengesahkan pemberian derma RM2.3 bilion kepada Najib, lapor MalaysiaGazette.
Menurutnya, kerabat Arab Saudi, Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud mengakui mengenai pemberian dana tersebut
Pengakuan itu disampaikan menerusi keterangan peguam istana yang mewakilinya, Mohamad Abdullah Al-Koman.
Dalam keterangan itu, putera Arab Saudi mengaku beliau merupakan penulis surat-surat berkenaan untuk tujuan derma kepada bekas Perdana Menteri.
Ujarnya, selepas merekod keterangan Abdullah Al-Koman, beliau berpuas hati dan memaklumkannya kepada Tan Sri Azam Baki.
Menurut Fikri yang merupakan saksi pembelaan kelapan (DW8), meskipun pengesahan sudah diperoleh dari keluarga diraja Arab Saudi, siasatan masih diteruskan bagi membolehkan agensi tersebut memperolehi keterangan lain
“Tan Sri (Azam Baki) bertanya sama ada saya berpuas hati, saya kata saya puas hati. Jika demikian beliau minta saya maklumkan kepada wakil AGC yang turut hadir dalam siasatan itu.
“Apa yang boleh saya rumuskan, kami berpuas hati dengan keterangan wakil raja Arab Saudi itu, namun siasatan masih diteruskan berkaitan isu derma berkenaan. Kami perlukan keterangan lain,” ujarnya yang kini bertugas di Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM.
Fikri merupakan sebahagian daripada pasukan SPRM yang berkunjung ke Riyadh pada akhir November 2015 bagi menyiasat dakwaan derma politik yang didakwa disalurkan kepada Najib.
Katanya, beliau menerima arahan daripada pengurusan tertinggi SPRM untuk memfokus siasatan bertujuan mengenal pasti punca wang dalam akaun peribadi AmBank milik Najib seperti yang tertera dalam laporan terhadap beliau.
Turut serta dalam pasukan, Tan Sri Azam Baki (ketika itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang juga pengarah siasatan) dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad (bekas timbalan pendakwa raya mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC).
BACA JUGA Menteri sambut cadangan MP Shah Alam, pertimbang insentif galakkan petani hasil padi lebih tinggi