Menteri sambut cadangan MP Shah Alam, pertimbang insentif galakkan petani hasil padi lebih tinggi
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof supaya memberikan insentif kepada pesawah.
Mohamad berkata, beliau mengambil serius cadangan insentif kepada pesawah yang menghasilkan lebih 4 tan metrik padi sehektar, dan akan membuat perbincangan dengan semua agensi terlibat.
Beliau akui pemberian insentif akan mendorong pesawah untuk berlumba-lumba mengeluarkan hasil tani yang baik.
“Begitu juga cadangan Shah Alam tadi iaitu kita beri insentif kepada mereka yang mengeluarkan lebih 4 ton padi sehektar. Cadangan itu kita akan ambil serius dan buat kajian dengan semua pihak supaya pesawah berlumba-lumba menghasilkan padi.
“Misalnya di Sungai Besar, Sabak Bernam, mereka sudah sampai ke peringkat 8 ton. Hampir menyamai seperti di Sekinchan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad berkata, Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di Kelantan dan Terengganu juga sudah menghasilkan sehingga 7 ton per hektar
Katanya, beliau akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan agensi kementerian lain untuk meneliti sama ada pemberian insentif ini mampu diberi atau tidak.
“Ertinya kita pergi berlumba ke arah itu untuk mereka menghasilkan hasil yang lebih banyak.
“Cadangan ini saya akan bawa kepada pegawai kementerian, Kementerian Kewangan dan sebagainya (untuk mengkaji) apakah kita boleh beri insentif khas kepada mereka yang mengeluarkan hasil yang lebih.
“Ini juga berlaku di Brazil yang mana para petaninya berlumba mengeluarkan hasil yang lebih tinggi,” katanya lagi
Awal hari ini, Mohamad mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi baharu daripada RM1,300 pe tan metrik kepada RM1,500.
Beberapa jam selepas itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengumumkan tambahan peruntukan RM30 juta yang akan diberikan oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Kerajaan MADANI adalah yang pertama menaikkan kadar belian padi dua kali dalam tempoh dua tahun.
BACA JUGA Hari bahagia untuk pesawah, PM umum Syed Mokhtar setuju peruntuk RM30 juta
BACA JUGA Beri insentif kepada petani yang tingkat hasil padi per hektar, baru mereka berlumba
Â