Letupan dan gegaran di Port Dickson terjawab, TNB sahkan stesen janakuasa terbakar
Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan berlaku insiden kebakaran di Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar di Port Dickson, malam tadi.
Menurut kenyataan TNB melalui Facebook, keadaan adalah terkawal dan pasukan teknikal telah segera dikerahkan ke lokasi bagi menilai situasi serta mengambil langkah untuk memastikan keselamatan semua pihak.
“Buat masa ini, bekalan elektrik kepada pengguna tidak terjejas dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“TNB akan terus memantau perkembangan situasi ini dan memberi maklumat terkini sekiranya diperlukan.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson dilapor mendapat maklumat awal daripada pemanggil berhubung letupan di stesen janakuasa tersebut pada jam 9.09 malam tadi.
Komander Operasi Kanan, Mohd Kamal Mohd Timar, berkata, pasukannya bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer.
Menurutnya, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Seremban 2 yang diketuai Komander Operasi, PBKI (KUP) Sabarudin Ahmad, turut dikerahkan ke tempat kejadian.
Jelasnya, setakat malam tadi tiada mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian yang menggemparkan penduduk sekitar tu.
Beliau menambah tindakan ‘size-up’ dilakukan di lokasi bagi mencari punca letupan, dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Untuk rekod, Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar di Port Dickson terletak di Jalan Seremban dan hanya bersebelahan dengan stesen minyak Shell.
Kebakaran stesen janakuasa turut menyebabkan penduduk sekitar malah sehingga kawasan Bukit Pelandok iaitu kira-kira 20 kilometer merasai gegaran selain ada yang menyangka ia bunyi bom meletup.
BACA JUGA Menteri sambut cadangan MP Shah Alam, pertimbang insentif galakkan petani hasil padi lebih tinggi
Â