‘Bising’ beras tempatan masih hilang, netizen anggap Pemuda Pas sekadar sembang
Pemuda Pas dihujani kecaman apabila ‘bising’ dengan mendakwa kartel beras masih berkuasa manakala beras tempatan pula masih hilang.
Sayap parti blok Perikatan Nasional (PN) itu menerima banyak kritikan dan sindiran orang ramai di Facebook susulan hantaran berkenaan harga lantai belian padi.
“Harga lantai padi yang baru: RM1,500 satu tan. Harga tempatan kekal RM26 sekampit.
“Kartel beras masih berkuasa. Beras tempatan masih hilang,” menurut Pemuda Pas.
Rata-rata berpendapat Pas hanya tahu membangkang walaupun kerajaan telah menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa 16 Februari ini.
“Sembang boleh sampai langit ketujuh. Masa jadi kerajaan tak dengar pun suara macam guruh, hanya jadi tikus di celah celah lubang je. Sembang tetap Sembang. Orang boleh nilai mana buat kerja kawal ekonomi dengan baik dan mana yang tak,” tegas pengguna Facebook, Muhammad Amirul Akmal Ismail.
Sementara itu, Mohd Syukri berharap ahli Parlimen PN akan menyokong hasrat kerajaan untuk meminda Akta Kawal Selia Padi Beras.
“Akta 522 sangat longgar. Tak boleh nak dakwa kilang campur beras tempatan dengan import dan dijual dengan harga import.
“Akta yang ada sekarang hanya boleh dakwa jika kilang sorok beras untuk kurangkan dalam pasaran supaya harga naik.
“Bila dibentang pindaan dalam Parlimen nanti, MP PN jangan tak sokong pula,” tempelaknya.
Hal yang sama turut disuarakan Zul Yaacob yang berpendapat pembangkang hidup dengan penuh rungutan yang berpanjangan.
“Usaha untuk bantu petani tiada. Ceramah tahu memaki saja. Nok dengar ucap terima kasih jauh sama sekali,” ujarnya.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan harga beras putih tempatan di pasaran kekal pada RM2.60 sekilogram susulan penyelarasan baru harga lantai padi.
Pengekalan harga itu, jelas beliau, menyebabkan kerajaan perlu menanggung kos pengeluaran berjumlah RM150 juta bagi tempoh enam bulan ini.
“Dalam tempoh enam bulan ini, sebanyak 24 juta kampit beras 10 kilogram yang berharga RM26 akan berada di pasaran.
“Pengumuman ini diharap dapat memberikan solusi menang-menang kepada semua, bermula daripada pesawah, pengilang dan seterusnya pengguna.
“Kerajaan mengambil kepentingan semua pihak terutama penanam padi, pengguna serta pengilang, pemborong dan peruncit.
“Semua pihak kita harap dapat menikmatinya hasil daripada pengumuman dibuat kerajaan ini,” katanya pada sidang media di Parlimen semalam.
BACA JUGA Pemilik ‘H’ terima padah salah ‘parking’, tapi perakam pun sama kena kecam
Â