DOSM kata ekonomi Malaysia berkembang pesat kalahkan Singapura, Indonesia
Ekonomi Malaysia berkembang lebih pesat berbanding beberapa rakan ASEAN tahun lalu termasuk Singapura (4.0 peratus) dan Indonesia (5.0 peratus), menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan pada 2024 meningkat kepada 5.1 peratus (2023: 3.6 peratus).
Prestasi ini juga berjaya mengatasi beberapa negara maju seperti China (5.0 peratus), Korea Selatan (2.0 peratus) dan Amerika Syarikat (2.8 peratu).
Ia dimaklumkan oleh DOSM menerusi kenyataan Prestasi Ekonomi Malaysia Suku Tahun Keempat 2024.
Menurut laporan DOSM, kesemua sektor utama mencatatkan prestasi yang lebih baik, dipacu oleh sektor Perkhidmatan dan Pembuatan dengan pertumbuhan masing-masing sebanyak 5.4 peratus dan 4.2 peratus.
Sektor Pembinaan juga mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 17.5 peratus, diikuti sektor Pertanian (3.1 peratus) dan Perlombongan & Pengkuarian (0.9 peratus).
Pada masa sama, ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh tahun ini, didorong oleh pasaran buruh yang memberangsangkan, peningkatan eksport dalam sektor elektrik dan elektronik, serta pelaksanaan inisiatif pelaburan utama.
Menurut Jabatan Perangkaan, perbelanjaan swasta dijangka meningkat susulan pelaksanaan kenaikan gaji minimum bulanan kepada RM1,700 bermula Februari 2025, dan pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion, selain pelaksanaan Dasar Gaji Progresif, yang melibatkan peruntukan RM200 juta dan memberi manfaat kepada 50,000 pekerja.
Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 juga dijangka menjadi pemacu pertumbuhan, dengan lebih 300 mesyuarat akan diadakan bagi mengukuhkan kerjasama serantau.
“Industri pelancongan dijangka terus berkembang menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan sasaran 31.4 juta pelancong asing. Peralihan takwim persekolahan pada Januari 2026 juga dijangka mempengaruhi corak perbelanjaan.
“Permintaan tenaga buruh yang stabil menggambarkan ketersediaan tenaga buruh yang kukuh di industri,” maklumnya.
BACA JUGA ‘Bising’ beras tempatan masih hilang, netizen anggap Pemuda Pas sekadar sembang
Â