Pandangan pemimpin Pas ditempelak, dulu masa jadi kerajaan kenapa RM1,200 per tan saja
Pandangan Exco Terengganu, Dr Azman Ibrahim yang mendakwa kenaikan harga lantai padi tidak memberi kesan besar terhadap industri padi dan pesawah, ditempelak Jurucakap Kerajaan Perpaduan.
Fahmi Fadzil dalam satu respon ringkas di WhatsApp, mempersoal adakah Perikatan Nasional (PN) pernah membantu pesawah ketika harga lantai padi cuma RM1,200.
“Dulu masa PN, harga lantai padi RM1,200 per tan bantu ke tak?,” soalnya.
Azman pada semalam berkata, pengumuman kenaikan harga lantai padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik dijangka tidak memberi kesan besar kerana harga pasaran semasa telah melebihi paras tersebut.
Menurutnya, berdasarkan trend pasaran sebelum ini, harga belian padi di kilang-kilang telah berada antara lingkungan RM1,550 hingga RM2,000 setiap tan metrik, bergantung kepada negeri.
Beliau turut mempersoalkan langkah kerajaan memperuntukkan subsidi RM150 juta dalam tempoh enam bulan bagi mengekalkan harga beras tempatan sebanyak RM2.60 tanpa berlaku sebarang kenaikan.
Beliau mendakwa langkah itu hanya akan memberi keuntungan kepada pihak industri yang sebelum ini telah mengaut keuntungan dari manipulasi beras tempatan.
Semalam Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan berita gembira untuk pesawah seluruh negara dengan kenaikan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik.
BACA JUGA DOSM kata ekonomi Malaysia berkembang pesat kalahkan Singapura, Indonesia