Pembangkang mengarut kaitkan isu Adendum dengan pelabur
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembangkang sebagai mengarut apabila mengaitkan isu Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak dengan kegusaran pelabur.
Beliau mempersoalkan logik pembangkang itu ketika banyak syarikat asing rancak untuk melabur di negara ini.
“Sulit untuk saya fahami kenyataan mengarut pembangkang yang mengaitkan isu adendum dengan kegusaran pelabur.
“Di mana logiknya isu sebegini dikatakan menyebabkan pelabur tidak yakin dengan dasar negara tatkala nilai pelaburan meningkat ketara, KDNK menggalakkan dan satu persatu syarikat gergasi dunia mengumumkan komitmen melabur di Malaysia?” katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa pelabur kekal yakin sebaliknya pembangkang pula kekal keliru.
“Daripada mana logiknya keyakinan pelabur terhadap pasaran Bursa Malaysia terkesan sedangkan penjualan pegangan saham oleh pelabur asing hanya 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan permodalan saham sebanyak RM2 trilion?
“Hairan saya,” bidas Perdana Menteri lagi sambal berkongsikan sedutan ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa kononnya isu Adendum menyebabkan pelaburan jatuh.
Susulan itu, Anwar bangkit membidas dengan mempersoal fakta mana yang dipetik Ahli Parlimen Bersatu berkenaan memandangkan perkembangan ekonomi negara pada masa ini adalah menggalakkan.
BACA JUGA ‘Bising’ beras tempatan masih hilang, netizen anggap Pemuda Pas sekadar sembang