PM tak setuju cadangan wujud menteri hal ehwal bukan Islam

Kerajaan menegaskan pendiriannya untuk tidak mewujudkan portfolio menteri bagi hal ehwal bukan Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu tidak dipersetujui oleh Jemaah Menteri, dan melihatnya sebagai pandangan peribadi seorang Ahli Parlimen.

“Kenyataan itu suara peribadi tidak dipersetujui oleh mana-mana dalam Jemaah Menteri dan soal pelantikan itu kita tahu ia adalah budi bicara perdana menteri. Itu tidak masuk dalam perkiraan.

“(Kita) ada menteri agama, ada menteri perpaduan. Ada jawatankuasa harmoni yang mewakili semua kaum, semua agama. Saluran itu memadai,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam di Puchong Perdana siang tadi.

Sebelum ini Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Yu Hui dilapor, berkata langkah itu penting bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak terpinggir.

BACA JUGA Dr Zaliha terjah tapak penjaja di Taman Tasik Titiwangsa undang reaksi netizen

Â