Awas, hukuman berat menanti anda jika jual beras tempatan sebagai beras import

Kerajaan dijangka akan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan mencampurkan beras tempatan untuk dijual sebagai beras import.

Menurut satu taklimat yang diberikan, kerajaan juga akan mengenakan hukuman berat kepada mana-mana pihak yang menyorok beras tempatan atau menjualnya sebagai beras import.

Langkah ini dibuat sebagai langkah tambahan untuk memastikan beras tempatan yang dijual pada harga RM2.60 sekilogram berada di pasaran segera.

Kerajaan menggunakan kaedah menang-menang apabila menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,500 dan bukannya RM1,800.

Harga ini demi memastikan pesawah dapat menjual harga lebih tinggi, pengilang ditambah subsidi, sekaligus mengekalkan harga beras tempatan pada kadar RM2.60/kg.

Dengan persetujuan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk menambah peruntukkan lagi RM30 juta kepada pesawah, ia menjadikan keseluruhan peruntukan yang disumbangkan berjumlah RM90 juta termasuk RM60 juta pada 2023.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan kebimbangannya terhadap kelangsungan kilang-kilang padi Bumiputera sekiranya harga belian padi dinaikkan kepada RM1,800.

Beliau berkata, banyak kilang terpaksa gulung tikar kerana tidak mempunyai modal pusingan yang cukup untuk membeli padi pada harga yang tinggi seperti RM1,800 per tan metrik yang berlaku dalam beberapa musim yang lepas.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab untuk memastikan kelangsungan hidup keseluruhan rantaian sektor padi dan beras negara, maka beliau perlu mengambil kira semua faktor sebelum membuat sebarang keputusan.

BACA JUGA DeepSeek bagi ‘rating’ kepada MB dalam Malaysia, MB Kelantan paling teruk

Â