Malaysia, Mesir sepakat tolak usaha halau rakyat Palestin keluar dari Gaza
Malaysia dan Mesir sepakat menolak segala usaha menghalau rakyat Palestin keluar dari tanah Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi semalam, perbincangan mereka menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Gaza.
Dalam perbualan itu kata Anwar, Presiden El-Sisi senada bahawa langkah menghalau rakyat Gaza bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
“Saya mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin terutama membabitkan bantuan kemanusian dan perubatan serta pembangunan semula, di samping tekal menyokong perjuangan menuntut keadilan buat Palestin.
“Alhamdulillah saya dan Presiden El-Sisi senada dalam pendirian menolak usaha menghalau rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook malam tadi.
Anwar menzahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden El-Sisi dan kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan dan mempermudahkan usaha Malaysia menyampaikan sumbangan dan perubatan terhadap rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan serta kekejaman genosid rejim Zionis Israel.
Presiden El-Sisi turut menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
“Gerakan membantu Palestin pasti lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini.
“Saya dan Presiden El-Sisi juga sempat bicarakan soal hubungan dua hala Malaysia-Mesir. Kami sekali lagi mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan kedua-dua negara,” ujarnya.
BACA JUGA Awas, hukuman berat menanti anda jika jual beras tempatan sebagai beras import