PM buat kunjungan mengejut tinjau suasana hari pertama persekolahan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kunjungan mengejut di Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu di ibu negara hari ini.

Menurutnya, kunjungan singkat itu sebagai seorang pemimpin yang mahukan persekitaran dan keadaan sekolah yang baik dan selesa buat anak-anak bangsa selain mendengar suara dan keluhan guru, ibu bapa, termasuk para pelajar.

Beliau dilihat melayan murid-murid di bilik darjah dan menyelami sendiri keadaan dan suasana hari pertama persekolahan dan dedikasi serta kecekalan para pendidik yang bersungguh-sungguh membentuk masa depan bangsa dan negara.

“Dalam kunjungan mengejut dan singkat tersebut, saya luangkan masa mendengar kerana perihal pendidikan bukan sekadar buku teks dan peperiksaan, tetapi soal membina impian, menerjah peluang, dan mencorak harapan.

“Saya sempat menghimbau saat berdiri di hadapan mahasiswa di Georgetown University, Washington DC di tahun-tahun lampau, yakni betapa besarnya peranan seorang guru dan pendidik dalam membimbing bukan sahaja dengan ilmu, tetapi dengan kasih sayang, sikap ihsan yang terdalam, contoh teladan dan hikmah,” katanya.

Anwar bagaimanapun mengakui persekitaran sekolah dan universiti sudah tentu berbeza tetapi jelasnya, semangat mencurah bakti adalah sama.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan bahawa sekolah mesti menjadi tempat yang selamat, selesa, dan penuh harapan kerana pendidikan adalah pintu kejayaan.

“Dan di sebalik setiap harapan, ada tanggungjawab yang kita—sebagai pemimpin, guru dan pendidik serta ibu bapa—genggam dan pikul bersama demi kejayaan anak bangsa.

“Kepada anak-anak yang memulakan hari pertama persekolahan hari ini, selamat kembali menimba ilmu,” ucap Perdana Menteri lagi.

Untuk rekod, sejumlah 4,925,075 murid memulakan sesi persekohan baharu bagi kalendar akademik sesi 2025/2026 bermula semalam dan hari ini di seluruh negara.

Jumlah tersebut melibatkan seramai 2.83 juta murid sekolah rendah dan 2.09 juta murid sekolah menengah yang akan mengikuti pe­ngajaran dan pembelajaran (PdP) di 10,233 sekolah.

Seramai 447,082 murid tahun satu me­langkah ke alam persekolahan, selain 413,540 murid Tingkatan 1 memulakan sesi baharu pendidikan di peringkat mene­ngah.

BACA JUGA Sanggup beratur 15 jam sejak Subuh demi beg, rupanya ini sebab ramai mengamuk

Â