Menteri akhirnya perjelas waktu sekolah sepanjang Ramadan sama macam tahun sebelumnya

Sesi persekolahan akan berlangsung seperti biasa seperti tahun-tahun sebelumnya sepanjang bulan Ramadan kali ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu penjelasan malam tadi berkata, pihaknya mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan sesetengah pihak berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan.

KPM berkata, garis panduan diterbitkan KPM adalah arahan sama yang pernah dikeluarkan pada tahun 2022.

“Pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan untuk sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan KPM berjalan seperti biasa, sama seperti tahun sebelum ini.

“la adalah berdasarkan kepada Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang sedang digunapakai,” katanya.

Bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar dan murid serta guru beragama Islam dapat menunaikan ibadah bulan Ramadan dengan selesa, KPM telah menetapkan waktu persekolahan mengikut sesi petang dan sesi pagi.

Sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan menamatkan sesi persekolahan seawal jam 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, manakala bagi negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada jam 5.00 petang.

Manakala sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa.

Dalam pada itu KPM menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi kementerian dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial berniat jahat yang cuba untuk mengelirukan masyarakat.

BACA JUGA Nandri PM Anwar, masalah perumahan 27 tahun selesai akhirnya

Â