Beria nak beritahu hadir bersidang, netizen tempelak Presiden Pas

Perkongsian gambar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menghadiri persidangan Dewan Rakyat dilihat telah mengundang kritikan dan sindiran netizen.

“Sekitar Sidang Dewan Rakyat, 17 Februari 2025,” tertera kapsyen pada ciapan di platform X bersertakan empat foto Hadi, antaranya kelibat individu mencium tangan Ahli Parlimen Marang itu semasa bersalaman.

Menjengah ruangan komentar, rata-rata menempelak bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai pemimpin pembangkang kerap tidak hadir ke Dewan Rakyat.

“Syukur Presiden Pas hadir juga di Parlimen dan diuar-uarkan sebab ada bukti gambar dan video. Pas Pusat perlu juga maklumkan peristiwa ini kepada CNN, BBC, Al Jazeera antaranya demi menduniakannya,” perli pengguna X, Nafisah Mohamed.

“Best jadi MP Marang. Jalan, salam, bergambar, up status. Setel!,” ujar Amer Hamzah.

“Datang sekali, heboh bukan main. Dasar ayam, telur sebiji riuh sekampung,” kecam Awan Nano.

“Dia ni pi sidang Dewan Rakyat macam pi melancong sebab hadir sekali-sekala, maka banyaklah gambar posting,” kata AJ Syed pula.

Untuk rekod, pemimpin Pas yang terkenal dengan Amanat Hadi di Banggol Peradong, Terengganu pada April 1981 itu mula menjadi Ahli Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990.

Sejak itu, beliau terus mengekalkan kerusi tersebut kecuali pada PRU 2004, apabila tewas kepada calon Barisan Nasional (BN).

Abdul Hadi kemudian berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Marang pada PRU 2008 dan mengekalkannya sehingga kini.

BACA JUGA Dah dibenar keluar IJN, rupanya tiga pembuluh darah jantung MP Pas ini tersumbat

Â