Berkat KDNK lonjak tinggi, rakyat dapat nikmati kenaikan gaji dan peluang kerja

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara yang melonjak melebihi jangkaan bukanlah hanya angka semata-mata, tetapi ia memberi limpahan langsung kepada rakyat seperti peluang pekerjaan dan kenaikan gaji.

KDNK negara melonjak kepada 5.1% pada tahun lalu, mengatasi unjuran awal kerajaan sebanyak 4% hingga 5% yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

KDNK ini mencerminkan pengembangan ekonomi yang sebenar di mana rakyat sedang merasai manfaatnya dari segi kenaikan gaji, pekerjaan berkualiti, bantuan dan perlindungan sosial yang lebih baik serta pertumbuhan sektor perniagaan dan perdagangan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, momentum pertumbuhan KDNK negara diyakini berterusan dan akan memacu pertumbuhan tahun 2025, meskipun dalam persekitaran global yang mencabar.

“Alhamdulillah, kita berjaya mencatat pertumbuhan KDNK benar 2024 pada 5.1 peratus dengan KDNK suku kedua merupakan tahap pertumbuhan tertinggi iaitu pada 5.9 peratus.

“Pada masa yang sama, pertumbuhan KDNK nominal untuk tahun 2024 adalah 5.9 peratus.

“Pertumbuhan KDNK bermakna hasil kerajaan bertambah, dan limpahan hasil ini membolehkan agihan lebih besar diberi kepada rakyat,” katanya ketika perbahasan sidang Dewan Rakyat tadi.

Pada suku pertama 2024, negara mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.2 peratus diikuti suku kedua pada 5.9 peratus, suku ketiga 5.4 peratus dan suku keempat 5.0 peratus.

Pada 2024 sekitar 127,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor swasta telah berjaya diwujudkan dengan kadar pengangguran berada pada paras rendah iaitu 3.2 peratus.

Penggunaan swasta terus menjadi penyumbang utama KDNK iaitu sebanyak 60.7 peratus didorong peningkatan permintaan barangan keperluan dan perkhidmatan manakala pelaburan mencatatkan pertumbuhan 12 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2023, yang tertinggi sejak 2012.

Amir Hamzah berkata, peningkatan pelaburan swasta terutamanya dalam sektor teknologi tinggi seperti semikonduktor, digital dan tenaga boleh baharu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia seterusnya menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat.

Bagi tahun 2025, Kerajaan MADANI mengunjurkan ekonomi akan berkembang antara 4.5% dan 5.5%, mengekalkan momentum dari tahun lalu.

BACA JUGA Orang putih 3 ekor? AMANAH tegur Hadi Awang supaya beradab

Â