‘Hukuman sebatan syariah bukan hukuman terbuka’

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Naim Mokhtar menegaskan bahawa hukuman sebatan yang dilaksanakan oleh mahkamah syariah tidak dikategorikan sebagai pelaksanaan hukuman terbuka.

“Kerajaan komited dalam memastikan bahawa setiap bentuk hukuman yang dilaksanakan di Malaysia, termasuk hukuman sebatan, adalah selaras dengan prinsip keadilan, nilai kemanusiaan, serta etika yang tinggi.

“Hukuman sebatan dalam konteks undang-undang Syariah yang diamalkan di Malaysia adalah berlandaskan hukum Islam yang menekankan aspek keinsafan, pendidikan, dan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.

“Sebagai makluman dewan yang mulia ini, sebatan yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Malaysia bukanlah dikategorikan sebagai pelaksanaan hukuman secara terbuka tetapi hukuman sebatan di luar penjara.

“Hukuman sebatan dijalankan dalam keadaan yang tertutup dan mematuhi garis panduan kesihatan serta keselamatan,” kata Naim dalam jawapan bertulis kepada William Leong Jee Kern (PH-Selayang).

Leong bertanya mengenai pendirian kerajaan persekutuan terhadap pelaksanaan hukuman sebatan terbuka dari segi etika, sifat kemanusiaan dan aspirasi Malaysia dalam mencapai nilai berkenaan.

Naim menjelaskan bahawa pendekatan yang diambil oleh kerajaan terhadap pelaksanaan sebatan di luar penjara merangkumi:

  1. Kepatuhan kepada prosedur perundangan
  2. Aspirasi nilai kemanusiaan dan etika
  3. Peningkatan kesedaran masyarakat
  4. Kajian dan penambahbaikan berterusan

Pada bulan lalu seorang lelaki yang melakukan kesalahan khalwat telah disebat secara terbuka di sebuah masjid di Terengganu setelah didapati bersalah oleh mahkamah syariah.

BACA JUGA: Alamak, Adun Pas rindu zaman Najib pulak dah