Kisah penjual daging salai perlukan RM15k untuk pembedahan dapat perhatian Perdana Menteri

Seorang lelaki tidak menyangka kisahnya yang tular kerana menjual daging salai bagi menampung pembiayaan pembedahannya, mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, berjualan secara langsung di TikTok, namun jualannya sebelum ini tidak mendapat sambutan.

Namun sejak dua hari lalu, ramai yang menghubunginya untuk membuat tempahan selepas kisahnya tular di media sosial.

Muhammad Sufi perlu mendapatkan RM15,000 bagi membiayai kos pembedahan memasang implan tempurung kepalanya, bulan depan.

Ibarat rezeki terpijak, selepas kisahnya tular, Perdana Menteri menyalurkan sumbangan sebanyak RM15,000 kepadanya.

Sumbangan itu disampaikan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (1CU) Kedah, Zaiton Yahya di rumahnya di Taman Jitra Indah, menurut Berita Harian.

Zaiton berkata, dia datang menyantuni Muhammad Sufi selepas mendapat arahan daripada Pejabat Perdana Menteri untuk mewakili Perdana Menteri bagi menyampaikan sumbangan susulan satu video tular mengenai kesengsaraan yang dihadapi oleh pesakit itu.

Beliau berkata, sumbangan wang tunai serta bakul makanan itu adalah untuk meringankan beban yang dialami Muhammad Sufi.

Sementata itu Muhammad Sufi berkata, dia tidak menyangka video dia menjual daging salai itu mendapat perhatian Perdana Menteri dan berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan.

“Saya memerlukan RM15,000 untuk kos pembedahan memasang implan tempurung kepala dan ia sudah cukup.

“Memang pembedahan ini ada risikonya tetapi saya berdoa supaya semuanya berjalan lancar,” katanya.

Muhammad Sufi berkata, kemalangan yang berlaku pada 31 Disember dua tahun lalu hampir meragut nyawanya apabila tempurung di bahagian kanan kepalanya terpaksa dibuang.

BACA JUGA Berkat KDNK lonjak tinggi, rakyat dapat nikmati kenaikan gaji dan peluang kerja

Â