Menjawab ‘racauan’ Wan Fayhsal: Konsep pendapatan boleh belanja bersih elak rakyat tercicir
Oleh NAJIB BAKAR
Saya berjaya habiskan dengar ucapan Wan Fayhsal di Parlimen walaupun bingit dengan nada tinggi dan emosi melebih-lebihnya.
Dia petik artikel dari World Bank bertajuk, “Is There an Underside to Economic Growth ? A Mixed-Methods Analysis of Malaysia.”
Saya boleh bersetuju dengan poin Wan Fayhsal, kita tidak harus cuma melihat angka-angka makroekonomi.

Dan sebenarnya Wan Fayhsal cuma mencedok idea PMX Anwar Ibrahim yang juga menyebut perkara sama semasa menjadi pembangkang mahupun semasa menjadi Perdana Menteri.
Sebagai contoh, pada Julai 2020, PMX ketika itu sebagai Ketua Pembangkang juga menyebut pemulihan Malaysia pasca Covid-19 tidak boleh cuma melihat kepada angka KDNK.
Dan menariknya, walaupun telah menjadi PM, pada ucapan Tahun Baharu 2024, PMX masih konsisten dengan pendiriannya, “saya tidak mahu terpukau dengan angka dan data ini.” (Berkaitan penurunan inflasi dan penurunan pengangguran).

Ok, PMX konsisten, tapi apa yang sedang dilakukan kerajaan untuk menangani perkara ini?
Sebab itu, kerajaan mula memperkenalkan konsep “pendapatan boleh belanja bersih”, atau NDI (nett disposable income).
Angka NDI ini diperolehi selepas tolak segala macam perbelanjaan untuk sebuah kehidupan bermaruah, berbeza-beza bergantung kepada jumlah tanggungan.
Sebelum ini, pengkelasan golongan berpendapatan terbahagi kepada tiga, B40, M40, T20.
Kita tahu, rungutan orang ramai terutama golongan M40 selama ini yang merasa terpinggir, tidak layak dapat bantuan, tapi tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi.
Disebabkan pendapatan mereka melebihi golongan B40, mereka tidak layak terima apa-apa bantuan.
Kita biasa dengar sejak bertahun-tahun, dari zaman PM Najib, selepas ucapan belanjawan, ramai golongan pertengahan M40 yang akan merungut tak dapat apa-apa.
Disebabkan itu, NDI ini bertujuan untuk lebih menyasarkan golongan yang perlu dibantu, mengikut daerah, menerusi data Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW).
Maknanya, kerajaan sekarang boleh tahu, data lengkap sampai ke peringkat daerah, berapa kos kehidupan sesebuah isi rumah untuk menjalani kehidupan bermaruah, dengan jumlah anak isteri yang berbeza.
Kehidupan bermaruah ini bermaksud sesebuah keluarga itu cukup makanan berkhasiat, ada tempat tinggal yang baik, boleh bersosial, beriadah, boleh melancong dalam negara.
Ini bukan sekadar cukup-cukup makan dah.
Orang yang ramai anak pasti lebih tinggi kos hidupnya.
Keluarga yang berpendapatan RM6,000 sebulan di Kuala Krau Pahang tidak mungkin sama kos hidup mereka dengan keluarga bergaji RM10,000 di tengah Bandaraya KL.
Besar kemungkinan keluarga di KL itu yang perlu lebih dibantu walaupun kalau ikutkan jumlah pendapatan kasar semata-mata, mereka mungkin lebih “kaya”.
Kerajaan mahu beralih kepada NDI supaya pengagihan dana bantuan betul-betul bermanfaat kepada keluarga yang memerlukan.
Inilah yang boleh menjawab Wan Fayhsal, betapa PMX tetap konsisten memperjuangkan golongan yang terpinggir, yang mungkin tercicir daripada data bantuan selama ini.
Ya, perubahan ini bukannya sesuatu yang boleh dipetik jari, terus jadi esoknya. Ia akan mengambil sedikit masa, tapi yang penting, ia telah bermula.
Kalau tanya aku, inilah salah satu reformasi yang sedang dilaksanakan PMX dan kerajaan untuk memastikan keadilan pengagihan dana itu sampai kepada yang betul-betul layak dan memerlukan.
BACA JUGA Dah dibenar keluar IJN, rupanya tiga pembuluh darah jantung MP Pas ini tersumbat
Â