Penyokong Pas kata mereka bangga dipanggil walaun
Beberapa pemuda yang merupakan penyokong Pas mengatakan bahawa mereka bangga apabila digelar walaun.
Dalam satu perkongsian video di TikTok Pemuda Pas kawasan Batu, seorang pengikut bertanya kepada beberapa penyokong Pas mengenai reaksi mereka ketika digelar walaun.
Salah seorang pemuda berkata “Alhamdulillah”. Individu lain pula berkata, mereka tidak kisah bahkan tidak melenting diberi gelaran sedemikian kerana menurutnya walaun adalah walak iaitu patuh.
“Saya rasa biasa je (digelar) walaun ni. Kalau kita tahu maksud dia walak. Kalau kita ni penyokong Pas dipanggil walaun kita relaks je”.
Penyokong lain pula mengakui dia berbangga dengan gelaran itu.
“Saya rasa berbangga jadi walaun. Kalau sebut walaun, sayalah orang yang anda cari”.
Individu lain pula berkata: “Saya suka dipanggil walaun. Saya seorang yang walak”.
Seorang lagi penyokong berkata: “Kita sebenarnya kalau ikut, rasa bangga lah dipanggil sebagai walaun. Sebab walaun ni orang yang taat kan. Orang yang patuh. Dalam keadaan orang panggil kita walaun ni satu kemegahan lah pada kita”.
Walaun adalah gelaran yang biasa dipanggil kepada penyokong tegar Pas. Beberapa pendapat mengatakan walaun diambil dari ayat malaun.
BACA JUGA Kisah penjual daging salai perlukan RM15k untuk pembedahan dapat perhatian Perdana Menteri