Tular detik ngeri jururawat rempuh lori di lorong kecemasan, mana kon keselamatan?
Tular rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kereta detik ngeri seorang penunggang motosikal yang kemudian disahkan jururawat merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan.
Menerusi rakaman kejadian itu yang berlaku pada jam 1 tengah hari semalam, didapati tidak kelihatan kon keselamatan diletakkan pada jarak yang sesuai.
Sehubungan itu, warganet mengecam sikap pemandu lori yang tidak mematuhi garis panduan berkenaan keperluan meletakkan kon keselamatan pada jarak yang sesuai seperti ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Ini memandangkan tanpa kon tersebut, penunggang motosikal berisiko menyangka lori yang rosak sedang bergerak dan hanya sudah terlalu dekat baru sedar kenderaan tersebut rupanya berhenti.
Menurut JKR, bagi lebuhraya, kon keselamatan perlu diletakkan sekurang-kurangnya 50 hingga 150 meter di belakang lori manakala sekurang-kurangnya 30 meter di belakang lori jika rosak di jalan biasa.
Di kawasan berselekoh atau berbukit pula, kon keselamatan perlu diletakkan sebelum selekoh atau puncak bukit supaya pemandu lain dapat melihat lebih awal.
Selain kon keselamatan, pemilik kenderaan yang rosak juga perlu menyalakan lampu kecemasan.

Semalam, seorang jururawat maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer (KM) 28.2 Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
Nurul Ilham Nordin, 29, yang bertugas di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Serdang, tercampak dan digilis dua kenderaan lain.
Mangsa yang sedang menunggang motosikal dari arah Cheras ke Cyberjaya menghala ke tempat kerja itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
BACA JUGA Kisah penjual daging salai perlukan RM15k untuk pembedahan dapat perhatian Perdana Menteri
Â