KDN dedah ada pihak jual IC biru palsu pada harga RM5,000 kepada PATI
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan wujud sindiket yang menjual kad pengenalan (IC) palsu pada harga yang tinggi kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).
Hasil risikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati sekeping kad pengenalan palsu boleh dijual sehingga RM5,000 oleh sindiket penjualan.
Timbalan Menteri KDN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata IC biru mendapat permintaan tinggi daripada warga asing yang mahu menetap di negara ini.
“Terdapat penawaran kad pengenalan palsu dibuat dengan harga sekitar RM4,000 hingga RM5,000.
“Kebanyakan permintaan ini datangnya daripada warga asing yang ingin mendapatkan pekerjaan dan menetap di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Shamsul Anuar berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang ingin KDN menyatakan sejauh manakah langkah pemantauan serta tindakan penguatkuasaan yang telah diambil terhadap sindiket pemalsuan kad pengenalan.
“Berdasarkan hasil risikan tersebut, JPN giat menjalankan pemantauan dan melaksanakan kerjasama dengan pihak penguatkuasaan seperti PDRM dan SKMM,” katanya lagi.
BACA JUGA Tiada ‘orang putih’ tapi guna ‘Terengganu Hijab Day’
Â