Tiada ‘orang putih’ tapi guna ‘Terengganu Hijab Day’
Ketika Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membangkitkan pengabaian bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan acara-acara besar, gejala sama juga rupanya berjangkit dalam kerajaan negeri Terengganu.
Walaupun 97 peratus penduduk negeri Pas itu terdiri daripada kaum Melayu tetapi program dinamakan sebagai “Terengganu Hijab Day” (THD) dengan tulisan jawi bersaiz kecil, “Sambutan Hari Hijab”.
Program tahunan THD sejak 2019 itu tahun 2025 berlangsung hari ini di Laman Payang, Pasar Kedai Payang di Kuala Terengganu.
Selain gerai jualan, program kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) itu turut menampilkan pameran agensi kerajaan selain cabutan bertuah.

Kelmarin, Abdul Hadi di Dewan Rakyat menegur sikap segelintir pihak yang lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis-majlis rasmi walaupun tempelaknya, “orang putih ada tiga orang sahaja”.
“Kita lihat bangsa lain pergi ke (sidang) PBB (Pertubuhan Bangsa Bersatu), pemimpin mereka berucap dalam bahasa sendiri.
“Pemimpin kita tidak, berucap dalam bahasa Inggeris. Kecuali negeri yang dijajah pemikiran seperti Amerika Latin yang cakap Sepanyol, tempat Inggeris cakap Inggeris juga.
“Tapi negeri yang ada identiti, ada jiwa bangsa, cakap bahasa dia.
“Oleh sebab itu, memperkasakan bahasa kebangsaan ini sangat penting dan perlu disedari,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
BACA JUGA Pengkhianat akhirnya bertemu, aksi cium tangan Tun M tuai kecaman