Layan syabu sebelum samun, ini 11 fakta menakutkan mengenai penjenayah Ah Boy

Penjenayah berbahaya, Ah Boy atau nama sebenarnya, Yap Chin Boon layan syabu sebelum melakukan sebarang aktiviti samun bersenjata sejak pertengahan tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dadah jenis itu dipercayai membuatkan suspek sentiasa berani meskipun melakukan jenayah secara solo.

Beliau berkata, lelaki yang menggemparkan negara kerana melepaskan tembakan di pusat beli-belah Setia City Mall, Selangor pada 8 Februari lalu itu terlibat dalam pengedaran dan penggunaan dadah.

“Jadi, kesan yang mendalam atas penggunaan dadah menyebabkan berkelakuan sedemikian. Dalam kata mudah ‘trigger happy’ (pencetus gembira).

“Sebab itu, dia boleh memiliki senjata secara haram dan melepaskan tembakan bila-bila masa,” kata beliau pada sidang akhbar hari ini.

Ah Boy mati ditembak di Pulau Ketam, dekat Klang Selatan, sekitar jam 3 pagi, 18 Februari lalu dalam satu operasi membabitkan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSK dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Berikut 11 fakta berkaitan Ah Boy penjenayah yang berbahaya itu:

1) Berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dan penjenayah di sebuah bilik hotel di Pulau Ketam pada 18 Februari lalu sebelum akhirnya ditembak mati dengan dua senjata api berisi peluru ditemui bersama suspek.

2) Penjenayah yang dikehendaki polis itu juga mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes jenayah samun.

3) Polis percaya Ah Boy dengan alamat terakhir di Bandar Bukit Tinggi, Klang itu merancang untuk melarikan diri ke luar negara.

4) Ah Boy yang tiada kenderaan sendiri rupanya telah melakukan 15 kes jenayah kesemuanya termasuk rekod jenayah lampau.

5) Dia yang bergerak ke mana-mana dengan senjata api mula melakukan jenayah sejak 2014 dan pernah dua kali menjalani hukuman penjara.

6) Pernah melakukan samun dengan rakan jenayah, tetapi sejak pertengahan tahun lalu dia bergerak solo dalam melakukan jenayah.

7) Ah Boy sempat melakukan lima jenayah lain iaitu samun, pecah rumah, peras ugut serta curi kenderaan sepanjang tempoh melarikan diri dari polis selepas melakukan tembakan di Setia Alam.

8) Dia juga sempat melarikan diri ke selatan tanah air selama lima hari, sebelum berpatah balik ke Banting, kemudian ke Sabak Bernam dan seterusnya ke Pulau Ketam.

9) Ah Boy bergerak dari Klang dengan mengugut pemandu Grab untuk menghantarnya ke Melaka. Di Melaka, dia menggunakan kaedah sama dengan mengugut pemandu lori untuk ke Banting.

10) Penjenayah juga mencuri motosikal untuk ke Sabak Bernam dan di situ dia mengugut pula pemandu lori untuk lari ke Pulau Ketam.

11) Ketika di Sabak Bernam, Ah Boy melakukan jenayah pecah rumah dengan menunjukkan senjata api dimiliki, selain samun sebelum melarikan diri ke Pulau Ketam.

BACA JUGA Tiada ‘orang putih’ tapi guna ‘Terengganu Hijab Day’