Syarikat Putra Aerospace didakwa tidak berdaftar SSM
Terengganu telah menyatakan perancangan negeri itu untuk membangunkan industri pembinaan pesawat yang dijangka bakal melahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang aeroangkasa.
Ia diumumkan sendiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas pihaknya menerima kunjungan delegasi Putra Aerospace Industries (PAI) diketuai Tuan Hassanuddin Tuan Kob semalam.
Bagaimanapun timbul keraguan apabila syarikat tersebut didapati tidak berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Ahli AMANAH, Ikhmal Iskandar mempersoal bagaimana sebuah syarikat yang tidak wujud dalam daftar rasmi boleh merancang projek besar seperti itu.
“Tular berita bahawa Putra Aerospace Industries (PAI) bercadang membangunkan industri pembinaan pesawat di Terengganu bukan sekadar alat ganti tetapi pesawat penuh dengan lesen sah. Hebat bunyinya!
“Tapi bila disemak di laman rasmi SSM, tiada rekod syarikat bernama Putra Aerospace,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut mempersoal adakah pengumuman itu satu perancangan serius atau sekadar propaganda politik.
Beliau mempersoal siapa sebenarnya individu di belakang projek terbabit.
Terdahulu Ahmad Samsuri berkata, pihaknya telah mengenal pasti lokasi strategik untuk projek fasa pertama pembinaan pesawat iaitu dalam kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud seluas lebih 50 ekar (20.2 hektar).
Ahmad Samsuri berkata, PAI bukan hanya mampu membuat alat ganti pesawat bahkan memiliki lesen membina pesawat baharu.
Setakat ini beliau tidak mengulas lanjut mengenai tarikh permulaan projek atau jangkaan projek disiapkan.
BACA JUGA Berucap depan lebih 400 ulama dan sarjana Islam dunia, ini mesej penting PM Malaysia
Â