Ini rupanya sebab Tel Aviv muncul ‘trending’, tiga bas kosong meletup
Entri ‘Tel Aviv’ muncul sohor kini susulan kejadian letupan membabitkan tiga bas kosong di tempat letak kenderaan di Bat Yam iaitu kawasan pinggir bandar berhampiran Tel Aviv.
Media Israel melaporkan bom turut ditemui dan dinyahaktifkan di dua buah bas lain.
Kejadian itu berlaku ketika Israel meneruskan serangan selama beberapa minggu yang memusnahkan rumah serta merosakkan infrastruktur penting di kem pelarian di Tebing Barat.
Lapor AlJazeera, polis Israel mengaitkan insiden tersebut sebagai serangan “pengganas” yang disyaki.
Sebagai tindak balas kepada letupan, Menteri Pertahanan Israel Israel Katz mengarahkan peningkatan dalam serbuan ganasnya yang sudah sengit di Tebing Barat yang diduduki.
Beberapa kawasan di Tebing Barat yang seolah-olah menjadi medan perang baharu menggantikan Gaza kini telah disekat.
Dalam masa sama, Menteri Pengangkutan Israel telah mengarahkan Pihak Berkuasa Transit Awam supaya semua bas, kereta api dan tren ringan dihentikan serta diperiksa.
Sejak gencatan senjata dipersetujui di Gaza, keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel sejak 1967 semakin membimbangkan.
Datuk Bandar Jenin Mohammed Jarrar, pada 18 Februari lalu dilapor berkata, tentera Israel ‘menggunakan corak pemusnahan secara rambang’ di kem dan kawasan sekitarnya bagi menjadikannya ‘tidak boleh didiami’.
Memetik Agensi, pemindahan besar-besaran rakyat Palestin dari pelbagai bahagian Tebing Barat sejak beberapa minggu lalu menandakan operasi pemindahan terbesar dalam beberapa dekad.
Pihak Berkuasa Palestin memaklumkan, kira-kira 17,000 orang kini telah dipaksa keluar dari kem pelarian Jenin, menjadikannya hampir kosong.
Sementara itu, 6,000 rakyat Palestin di Nur Shams atau kira-kira dua pertiga daripada penduduknya, telah dipaksa keluar, manakala 10,000 lagi meninggalkan kem Tulkarem.
BACA JUGA Pengkhianat akhirnya bertemu, aksi cium tangan Tun M tuai kecaman
Â