Lesap lebih RM26 juta di tangan ‘Profesor Stanley Lim’, siapa Datuk yang jadi mangsa ini?

Walaupun sudah dua kali pihah polis mengeluarkan kenyataan berkenaan skim pelaburan mata wang kripto, masih ada lagi mangsa terperdaya termasuk individu bergelar Datuk.

Lelaki berkenaan berputih mata lesap RM26.6 juta lantaran menjadi mangsa kepada skim itu gara-gara melihat iklan pelaburan tersebut melalui carian di Google.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa menekan pautan yang disertakan dalam iklan pelaburan itu.

Sejurus itu, pengarah syarikat pembinaan itu dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp (12 Gatering Stocks Into Gold) dan diajar berkenaan pelaburan oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya Profesor Stanley Lim.

“Terperdaya dengan janji keuntungan yang ditawarkan, mangsa kemudian memuat turun aplikasi UVKXE bagi memulakan pelaburan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau memberitahu, bermula 17 Oktober hingga 24 Disember tahun lalu, mangsa membuat pindahan wang ke sembilan akaun bank yang didaftarkan atas nama pelbagai syarikat berbeza.

“Jumlah keseluruhan pindahan yang dilakukan adalah RM26.6 juta.

“Melalui semakannya pada bulan lalu, mangsa mendapati akaun pelaburannya mencatatkan keuntungan sehingga USDT 269.247 juta (RM1.2 bilion),” katanya.

Namun, jelasnya, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM5.56 juta atas alasan cukai apabila ingin mengeluarkan wang keuntungan berkenaan.

Menurut Ramli, untuk rekod, lima akaun bank milik syarikat yang digunakan dalam kes itu turut disiasat bersabit 38 kes penipuan yang lain.

“Setakat ini, sejumlah 46 laporan polis diterima berkaitan skim penipuan pelaburan UVKXE dengan nilai kerugian keseluruhan RM61.4 juta.

“Amat mendukacitakan kerana masih ada individu yang menjadi mangsa skim ini walaupun sudah dua kali kenyataan dibuat berkenaan skim ini,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

BACA JUGA Pembangunan semula bandar perlu untuk selesaikan masalah flat usang berkubang najis

Â