Video fitnah sudah cecah lebih 2 juta tontonan, banyak komentar maki Menteri Pendidikan

Satu klip video fitnah yang dimuatnaik oleh seorang Pemuda Pas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang diputar belit kini sudah mencecah 2.4 juta tontonan setakat ini.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kawasan Gombak, Mohamad Suffi Kamari hanya memuatnaik enam saat sedutan reaksi Fadhlina yang berseloroh tentang pulang awal bagi sesi petang persekolahan semasa bulan Ramadan.

Kenyataan menteri yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal dari PKR berkenaan yang ‘dikerat’ dan tidak sepenuhnya disiar itu dilihat telah diputar belit oleh pembangkang.

“… jika diberi kelonggaran sedikit awal di musim Ramadan nanti, para guru, ibu bapa dan pelajar boleh segera balik awal, bersedia dan bersiap untuk berbuka puasa.

You (Fadhlina) sejak dulu sampai sekarang, dulu kisah qunut nazilah tak bagi… hormat orang bukan Islam.

“… sibuk pasal kaum dan agama lain tapi kalau untuk pelajar dan umat Islam, para ibu bapa dan guru untuk memastikan lebih banyak ruang masa mereka untuk bersama keluarga semasa petang berbuka puasa itu, tak fikir panjang Menteri Pendidikan kita ni nampaknya,” sembang Suffi lagi.

@suffikamari

Menteri Pendidikan si Fadhlina Sidek ni buat hal lagi guys tentang balik awal ketika sesi persekolahan Ramadan 2025! apa pandangan korang? #fyp #fypage #ramadan

♬ Menyentuh Hati – Yuda Pratama

Susulan fitnah tersebut, berduyun-duyun warganet dilihat mengecam dan memaki Fadhlina serta kerajaan di ruangan komentar platform TikTok Suffi itu.

Rata-ratanya yang dilihat penyokong pembangkang terus menjatuhkan hukum kononnya Fadhlina tidak layak menjadi Menteri Pendidikan serta dituduh cetek ilmu agama.

Malah, pembangkang berharap Fadhlina diganti dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia dari Bersatu, Muhammad Hilman Idham.

Walhal, pada sidang media di SK Taman Pelangi Semenyih, 17 Februari lalu, Fadhlina berkata, sesi persekolahan termasuk kantin di sekolah sepanjang Ramadan akan beroperasi seperti biasa sebagaimana bulan puasa sebelum ini.

Mengikut garis panduan KPM, sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan menamatkan sesi seawal jam 5.30 petang bagi negeri di Semenanjung.

Sementara itu, bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada jam 5 petang.

Sehubungan itu, sebahagian netizen mendesak pihak Fadhlina mengambil tindakan undang-undang terhadap Suffi yang pernah didakwa menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor pada Januari tahun lalu itu.

“Siapa pegawai yang terdekat dengan YB Fadhlina, pastikan video ni sampai ke tangan YB! Komen dah banyak maki YB!” gesa pengguna X, @PejuangPH yang turut menanda Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

BACA JUGA Ini rupanya sebab Tel Aviv muncul ‘trending’, tiga bas kosong meletup