Wow, tandas Pasar Siti Khadijah dah macam hotel 5 bintang!
Tandas di Pasar Siti Khadijah yang hampir siap dibaik pulih hasil peruntukan Kerajaan Persekutuan sudah seperti hotel lima bintang.
Menerusi saluran TikTok Dr Hafidzah Mustakim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama berkenaan berkongsikan keadaan terkini tandas di pasar yang sudah berusia 40 tahun itu.
“Projek tandas kini 80 peratus sudah siap dibaik pulih dan dihias cantik.
“Alhamdulillah, dengan bantuan PMX dan Kerajaan Pusat, tandas pasar kini dapat dikunjungi dengan selesa oleh semua pengunjung,” menurut kapsyen tertera pada rakaman video itu.

Wakil rakyat yang juga Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu berkata, usaha baik pulih tandas itu membantu perniagaan tempatan serta menarik lebih ramai pengunjung.
Naib Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional itu menyifatkan semua rakyat dapat menikmati hasil pembangunan yang membawa Kota Lama lebih maju dan harmoni.
Pada Oktober 2024, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.5 juta untuk kerja-kerja membaik pulih Pasar Besar Siti Khadijah di bawah bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Peruntukan tersebut disalurkan untuk kerja-kerja membaik pulih tandas, bumbung dan pendawaian di pasar yang dahulunya dikenali sebagai Pasar Besar Buluh Kubu itu.
Sebelum itu, kerajaan telah meluluskan dana sebanyak RM1.5 juta bagi membaiki struktur konkrit merekah dan bumbung pasar yang mempunyai seramai 1,500 peniaga itu.
BACA JUGA Cabul budak ketika solat Subuh: Apa perkembangan terkini remaja berkopiah?