Sah pemuda cabul budak di masjid ada kad OKU sejak kecil
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mengesahkan pemuda yang mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang sedang menunaikan solat subuh di sebuah masjid di Batang Kali di Hulu Selangor semalam, merupakan individu Orang Kurang Upaya (OKU).
Pengarahnya, Azmir Kassim berkata, hasil pemeriksaan dan semakan oleh pihaknya mendapati individu terbabit mempunyai kad OKU sejak kecil.
“Hasil pemeriksaan kita mendapati dia (suspek) mempunyai kad OKU ‘Learning Disability’ (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi,” dipetik Harian Metro.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 28 Februari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Semalam, tular rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita.
Dia memeluk dan mengangkat seorang kanak-kanak perempuan yang sedang sujud tanpa disedari jemaah lain.
Bagaimanapun, mangsa dapat melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek.
Susulan laporan diterima polis pada jam 8.19 pagi, suspek ditahan pada hari sama di sekitar Batang Kali.
BACA JUGA Boleh pula ada tulisan Cina, kenapa MP Kelantan tak persoal negeri sendiri?
Â