Khabar baik untuk pencarum, dividen KWSP mungkin lebih tinggi kali ini
Pencarum dijangka dapat khabar gembira mengenai dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2024 yang dikhabarkan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi memberangsangkan KWSP pada suku ketiga tahun lepas dijangka memberi pulangan yang baik kepada para pencarum.
“Kalau kita tengok prestasi sehingga suku ketiga tahun lepas, ia menggalakkan. Sehingga suku ketiga, KWSP dah dapat RM57.5 bilion (pendapatan pelaburan). Lebih baik daripada tahun sebelumnya.
“Oleh itu, insya-Allah prestasi berterusan pada suku keempat dan dividen akan memberangsangkan.
“Namun, saya tak boleh komen apa dividennya. Itu tunggulah. Boleh kata lebih baik. Insya-Allah,” katanya kepada media ketika Larian Asean: Trek Kewangan @MOF anjuran Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.
KWSP mengisytiharkan dividen lebih tinggi pada 2023 iaitu 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional berbanding 5.35 peratus pada 2022, dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.
Bagi Simpanan Shariah, 5.40 peratus direkodkan berbanding 4.75 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.
KWSP dijangka mengumumkan kadar dividen 2024 pada awal Mac ini.
Beberapa pakar ekonomi dan akademik menjangkakan dividen KWSP bagi 2024 melebihi enam peratus.
BACA JUGA Kerajaan tak pernah paksa pembangkang sokong PM kalau nak peruntukan