Notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning diserah kepada SPR Selasa depan

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid akan menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning kepada kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) paling awal pada Selasa.

Beliau berkata, ia akan dibuat selepas selesai urusan kematian Allahyarham Ishsam Shahruddin.

“InsyaAllah minggu depan kita akan maklumkan kepada SPR.

“Kita akan maklumkan secara rasmi kepada SPR supaya proses yang sepatutnya mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri dan juga Perlembagaan Negara,” katanya kepada media di pekarangan kediaman Allahyarham Ishsam hari ini.

Berdasarkan Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Speaker DUN akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK).

PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis rasmi mengenai kekosongan kerusi tersebut.

Allahyarham Ishsam disahkan meninggal dunia selepas rebah di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Georgetown petang semalam.

Wakil rakyat dari BN yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Perak sekitar tahun 80-an dan 90-an berkenaan menghembuskan nafas terakhir pada usianya 59 tahun.

BACA JUGA ADUN Ayer Kuning rebah di tepi padang bola