18 akaun media disekat TikTok, Menteri dedah punca angkara
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa sekatan yang dikenakan ke atas 18 akaun TikTok organisasi media adalah disebabkan oleh kecerdasan buatan (AI) TikTok ke atas laporan kes cabul di masjid Batang Kali.
“Masalahnya adalah kecerdasan buatan (AI) TikTok itu sendiri, di sini sedikit amaran, AI kadangkala dia boleh jauh tersasar, dia tak faham bahawa organisasi media pelaporannya berbeza daripada kandungan dihasilkan orang biasa.
“Jadi saya telah minta supaya satu perbincangan diadakan dalam tempoh terdekat untuk memperhalusi fungsi akaun-akaun TikTok yang dimiliki oleh media supaya tak dikenakan tindakan sedemikian rupa di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kursus AI in the Newsroom anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
“Pelaporan itu sepatutnya tidak menjadi masalah. Jadi di situ saya nampak masalah AI yang perlu TikTok jelaskan kepada kami dan kemudian jelaskan juga kepada syarikat-syarikat media,” katanya.
Menurutnya TikTok telah meningkatkan content moderation.
“Jadi di situ saya nampak ada peluang untuk kita bincang dengan pihak TikTok beri kelonggaran, atau pun mungkin beri status yang berbeza untuk syarikat-syarikat media kerana mereka membuat pelaporan dan kita pun ada garis panduan atau pun kod etika kita sendiri, jadi di situ TikTok perlu faham,” katanya.
BACA JUGA: Kenapa tidak jadikan ternakan ikan haruan industri baru di Malaysia, Mat Sabu ke Kemboja
Â