Akta Pembangunan Semula Bandar: Pemuda PH WP tuntut tiga jaminan

Angkatan Muda Harapan Wilayah Persekutuan menegaskan, Akta Pembaharuan Semula Bandar sama sekali tidak akan membenarkan pengambilan tanah secara paksa.

Dalam menyokong akta itu, Ketuanya Faris Ariffin menuntut tiga jaminan utama daripada kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya pemantauan bagi mengawal pemaju supaya tiada rakyat dipaksa keluar tanpa rumah alternatif mampu milik.

Kata beliau, 40 peratus unit perumahan dalam projek pembaharuan bandar mesti diperuntukkan untuk rakyat B40.

Tuntutan kedua, beliau mahu jaminan pembangunan semula tanpa membabitkan pengusiran.

“Kita boleh membangun tanpa mengusir. Kita boleh memodenkan tanpa menindas. Kita boleh maju tanpa meninggalkan sesiapa di belakang.

“Ketiga, jangan biarkan politik perkauman menghalang kemajuan. Ini bukan soal siapa yang berkuasa, ini soal rakyat. Ini soal masa depan kita semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Faris turut menegur pembangkang, mengingatkan bahawa gabungan itu pernah mencadangkan mengenai pembaharuan bandar.

Beliau menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sedang menabur ketakutan dalam kalangan rakyat hanya kerana menteri dari Pakatan Harapan yang memulakan inisiatif ini.

“Pas dan PN hipokrit. Ketika mereka di kerajaan pada 2021, mereka sendiri mencadangkan pembaharuan bandar.

“Fakta jelas PSB tidak membenarkan pengambilan tanah secara paksa. Rundingan, pampasan adil, dan hak pemilik mesti dihormati,” katanya.

BACA JUGA Enam undi, Muhaimin Harit tersungkur di tempat ketiga dalam pemilihan ketua Bersatu Batang Kali

Â