Enam undi, Muhaimin Harit tersungkur di tempat ketiga dalam pemilihan ketua Bersatu Batang Kali

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harit Abdullah Sani tewas dalam pemilihan Ketua Bahagian, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor.

Beliau hanya memperoleh enam undian berbanding dua lawannya, Datuk Ruslee Jamaludin (DRJ) yang memenangi pemilihan itu dengan 26 undi dan bekas penyandang, Khairul Azhari Saut, 13 undi.

Kekalahan itu disifatkan sesuatu yang memalukan kerana Muhaimin merupakan wakil rakyat di kawasan itu dan sewajarnya mampu menarik sokongan ahli Bersatu di bahagian tersebut.

Malangnya, beliau yang hadir bertongkat ke dewan persidangan tewas di tangan calon baru dan bekas ketua bahagian yang pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri, Kuala Kubu Bharu, pada Pilihan Raya Umum lalu.

Pada pemilihan itu, seluruh perwakilan Bersatu Hulu Selangor sebulat suara memilih DRJ sebagai Ketua Bahagian yang baharu.

Pemilihan yang dihadiri 47 daripada 71 perwakilan itu turut memilih Riduan Harun sebagai Timbalan Ketua Bahagian dengan 29 undi dan Mohammed Ilyas Hussein Mohammed Rosdi sebagai Naib Ketua Bahagian yang menang tanpa bertanding.

Hanya enam cawangan Bersatu Hulu Selangor berjaya bersidang daripada 13 cawangan kesemuanya.

DRJ dalam pada itu menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada semua perwakilan yang memberikan kepercayaan kepadanya memimpin Bersatu Hulu Selangor.

“Alhamdulillah, syukur tidak terhingga dipanjatkan kehadrat Ilahi di atas keizinannya mempermudahkan proses persidangan dan pemilihan parti Bersatu hari ini.

“Syukur dan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua perwakilan di atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada saya untuk memikul amanah dan tanggungjawab diberikan.

“Sudah pasti saya akan menggalas tugas ini sebaiknya dan berharap agar barisan pimpinan yang baru dapat bekerjasama merubah lanskap politik serta kembali mengukuhkan Bersatu Hulu Selangor,” katanya.

Sementara itu, secara keseluruhan perwakilan turut merasa terharu apabila keputusan memihak kepada mereka dan memastikan kepercayaan diberikan akan digalas sebaiknya.

BACA JUGA: Wan Fayhsal tersungkur di Machang, MP tapi tewas pemilihan parti

Â