PRK DUN Ayer Kuning: Ini faktor perlu diambil kira

Faktor pengundi baharu selain dinamika sifat manusia tetap perlu diambil kira dalam usaha Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata walaupun BN dan PH masing-masing ada pengundi tegar tetapi pengundi baharu antara 2023 dan 2024 tidak diketahui.

Dalam masa sama, katanya, BN menyambut baik kesediaan Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggerakkan jentera untuk memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.

“Insya-Allah tak boleh pandang mudah sebab manusia berubah, dinamik. Usaha perlu diteruskan untuk berjumpa pengundi.

“Kita masih perlu mendekati pengundi muda, pengundi baharu,” katanya kepada pemberita selepas penganjuran program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 2025 di Stadium Indera Mulia, semalam.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak, yakin kesefahaman sama diambil kira dalam meletakkan calon iaitu sekiranya berlaku PRK maka calon ditetapkan adalah daripada parti penyandang asal kerusi itu.

“Ada persefahaman mengenai hal itu antara BN dan PH sejak 2023 iaitu ikut penyandang asal. Seperti PRK Kulai yang lalu penyandang dari AMANAH, jadi diletakkan calon parti itu semula dan BN tolong (berkempen),” katanya lagi.

Terdahulu, penyandang ADUN Ayer Kuning dari BN, Ishsam Shahrudddin, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.

Pada PRU15, Ishsam yang juga bekas pemain bola sepak menang dengan majoriti 2,213 undi apabila meraih 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru.

Jumlah undian itu mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

BACA JUGA Siapa ulama tersohor yang disantuni Perdana Menteri ini?

Â