PM jawab tuduhan KWSP rugi urus niaga saham MAHB
Perdana Menteri menegaskan tuduhan mengatakan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian daripada penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sebagai tidak berasas.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tuduhan itu juga jelas ditolak KWSP melalui kenyataan akhbarnya pada 12 Februari lalu, di mana mencatat keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan merekodkan jumlah pendapatan pelaburan bersih RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.
“KWSP juga mengisytiharkan dividen 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus bagi Simpanan Shariah.
“Secara keseluruhan, sejak 2014 jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta,” katanya melalui jawapan bertulis melalui laman web Parlimen.
Anwar berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai rasional yang mendorong KWSP menjual 163.36 juta sahamnya pada harga RM6 sesaham dan kemudian membeli semula pada harga lebih tinggi iaitu RM11.
Jelas Perdana Menteri, penjualan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai KWSP oleh Jabatan Ekuiti pada 2023 di Bursa Malaysia adalah dagangan aktif KWSP untuk memanfaatkan pergerakan harga saham dan menjana pendapatan pelaburan jangka pendek.
“Saham MAHB dijual pada harga antara RM6.70 sen seunit, menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023.
“Prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus turut menjadi faktor utama strategi ini,” katanya.
Dua pelaburan berbeza
Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang baru dimuktamadkan tahun ini adalah dua pelaburan berbeza iaitu dari segi matlamat pelaburannya serta dari segi jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan berkenaan.
Menurutnya, tawaran sukarela oleh Konsortium yang dianggotai KWSP untuk mengambil alih semua saham MAHB yang belum dimiliki pada harga RM11 setiap saham merupakan pelaburan baharu jangka panjang KWSP.
“Penglibatan KWSP kali ini mengambil kira aspek penciptaan nilai tambah yang lebih strategik atau ‘value creation’ dan strategi baharu, serta pelaksanaan pelan pemulihan dan penambahbaikan MAHB yang akan memastikan MAHB berada landasan yang tepat untuk disenaraikan semula pada harga lebih tinggi.
“Ini hanya boleh dikecapi melalui transformasi operasi MAHB. Sejurus penyahsenaraian ini selesai, Konsortium akan memberi sepenuh perhatian untuk meningkatkan infrastruktur, ketersambungan serta pengalaman penumpang.
“Mungkin secara kasarnya, perkara ini seperti tidak memainkan peranan penting kepada pemulihan MAHB, tetapi sebenarnya perubahan inilah yang menjadi asas kepada transformasi strategik MAHB,” jelas PMX.

Sehingga pengumuman Tawaran Sukarela (VGO) pada 15 Mei 2024 di Bursa Malaysia, kata Perdana Menteri, aktiviti dagangan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai berjalan mengikut mandatnya untuk menjana pulangan untuk ahli-ahli KWSP.
“KWSP mengamalkan proses tadbir urus tegas melalui protokol perintang maklumat atau dikenali sebagai ‘Chinese wall’ yang merupakan amalan piawaian standard di kalangan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan institusi kewangan.
“Di bawah protokol perintang maklumat, Jabatan Pelaburan Strategik yang bertanggungjawab ke atas VGO MAHB ini dilarang sama sekali berkongsi maklumat sensitif dan bukan umum kepada Jabatan Ekuiti.
“Protokol ini memastikan pemisahan maklumat agar tidak berlaku sebarang percanggahan kepentingan yang boleh membawa risiko berlakunya ‘insider trading’ yang merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA),” katanya.
Beliau menegaskan protokol perintang maklumat tidak sewajarnya diperlekehkan kerana ia langkah kawalan penting sebagai pertahanan terhadap ‘insider trading’ seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 190 CMSA.
Jelasnya, kesalahan ‘insider trading’ satu kesalahan jenayah yang jika disabitkan boleh membawa kepada hukuman mandatori penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.
“Sekiranya KWSP menggunakan maklumat dalaman untuk membuat dagangan saham, ini boleh merosakkan integriti dan keadilan pasaran saham di Malaysia memandangkan penyertaan KWSP adalah sebanyak 38 peratus daripada keseluruhan pasaran ekuiti tersenarai domestik.
“Kawalan dalaman ketat yang diwujudkan dan dipraktikkan dengan penuh integriti oleh KWSP inilah yang menyumbang kepada keteguhan KWSP sebagai sebuah institusi pelaburan yang disegani sepanjang hampir 75 tahun penubuhannya.
“Sebagai institusi pelabur terbesar di Malaysia, KWSP mengambil berat peranannya dalam menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan. Apa-apa tindakan tidak wajar oleh KWSP bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi dan kedudukan KWSP, malah boleh menjejaskan prestasi pasaran kewangan negara,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Pemuda Pas sengaja hasut rakyat bencikan Kerajaan Madani
Â