Suruh buang plastik ada beg pistol, lelaki negara haram ini meronta minta jangan usik empat beg bagasi

Lelaki negara haram Israel, Avitan Shalom yang menggemparkan Malaysia kerana memiliki ratusan butir peluru rupanya ditahan selepas menyerahkan bungkusan plastik sampah kepada kakitangan sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur untuk dibuang sekitar jam 6 petang pada 26 Mac tahun lalu.

Plastik sampah berwarna putih itu mengandungi sekotak bekas simpanan pistol bertulis Glock, sekotak bekas simpanan pistol yang bertulis Kuzey, satu Apple iPad, 13 keping sarung tangan getah berwarna putih, 16 stoking, satu beg galas, sekeping kad bertulis Plephone Prepaid Talk&Co, resit dan empat bungkusan tisu basah.

Fakta itu turut diakui sendiri Avitan,39, ketika dibaca di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bersidang di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang hari ini.

Berdasarkan fakta kes itu, kakitangan hotel kemudian memaklumkan kepada penyelia keselamatan hotel selaku pengadu yang curiga.

Pengadu kemudian diarahkan pegawai atasannya untuk membuat laporan polis atas kejadian itu untuk siasatan lanjut berikutan risau keadaan keselamatan hotel.

Pada jam 11.10 malam hari sama, polis tiba dan dibawa ke satu bilik penyimpanan barang dan beg plastik berwarna putih itu diserahkan.

Pada jam 1.20 pagi 27 Mac 2024, seorang pegawai polis dengan dipandu penyelia keselamatan mengetuk pintu bilik itu beberapa kali.

Avitan kemudian membuka pintu sebelum pemeriksaan dibuat oleh semua pegawai, anggota polis dan Unit Anjing Pengesan (K9) yang tidak menjumpai sebarang penemuan mencurigakan.

Semasa pemeriksaan dijalankan, terdapat beg bagasi jenama Samsonite berwarna hitam di dalam bilik.

Namun, pemeriksaan tidak dibuat memandangkan terdapat kitab Torah dan alatan sembahyang serta pelbagai minyak wangi dalam kuantiti banyak, dengan ada dalam keadaan terbuka dan ada diletakkan di dalam kotak berada di sekitar beg tersebut.

Tertuduh kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan sebelum dilepaskan selepas siasatan awal dan tertuduh kemudian membuat tambahan hari untuk duduk di bilik hotel berkenaan sehingga 29 Mac 2024.

Pada 28 Mac jam 4 petang, pegawai penyiasat menerima arahan untuk membawa tertuduh menjalankan pemeriksaan menyeluruh di bilik hotel itu, dengan menggunakan kad akses hotel.

Tertuduh dilihat gementar dan meronta-ronta sambil meminta untuk tidak menyentuh barangan peribadinya iaitu empat beg bagasi dalam bilik itu.

Pegawai penyiasat kemudian membuat pemeriksaan terhadap kandungan tiga bagasi tetapi tidak menjumpai apa-apa barang salah.

Walaupun begitu, satu bagasi berwarna hitam tidak dapat dibuka kerana dalam keadaan berkunci dan tertuduh enggan memberikan kerjasama untuk membuka beg itu.

Semasa di IPD Dang Wangi, pegawai penyiasat meminta tertuduh membuka bagasi berjenama itu yang berkunci, tetapi tertuduh enggan.

Dengan disaksikan tertuduh, polis membuka bagasi itu menggunakan sebatang pen berwarna merah pada zip bagasi.

Terdapat dua beg galas berjenama yang salah satunya mengandungi enam pucuk senjata api bersarung stoking dan empat kotak bertulisan Shell Shock Nas3 Dan Bullet Master mengandungi peluru.

Semua pistol dan peluru dihantar untuk Ujian ‘Serviceability’ Senjata Api dan hasil ujian mendapati semua barang-barang kes dirampas daripada tertuduh adalah berfungsi.

Avitan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

BACA JUGA Gelagat orang Cina tangkap gambar Tun M di sebalik cermin tarik perhatian

Â